Followers

Sunday, April 19, 2015

Shamsuri kecam pemimpin PAS 'bermulut beruh'

 
Setiausaha Politik kepada presiden PAS Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar mengecam tindakan segelintir kepemimpinan PAS yang sering menyanggah pendirian yang telah diputuskan oleh parti.

Menyifatkan kelompok itu "bermulut beruh" (celupar dan mulut lancang), beliau berkata kumpulan itu sering mempertikaikan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat melalui penulisan, percakapan dan membuat kenyataan di luar daripada pandangan parti, lapor BH Ahad hari ini.

Dalam laporan itu, beliau berkata PAS tidak menghalang perbezaan pandangan tetapi jika parti telah memutuskan satu keputusan, maka pemimpin PAS perlu menerimanya untuk dilaksanakan.

"Kecuali kalau kita sebagai ahli parti berasakan kita adalah presiden, nak suruh orang dengar dan terima pendapat kita dan rasa pendapat orang lain tidak betul, kalau begitu, lebih elok mereka tubuh parti baru hangan campur dengan orang ramai," katanya seperti yang dilapor akhbar itu.

Dalam laporan itu juga, beliau mendakwa ahli yang tidak berdisiplin menyebabkan tercetusnya isu peminggiran kelompok tertentu dalam parti sehingga mendorong berlakunya perpecahan.

Tegasnya, PAS tidak pernah meminggirkan golongan ulama, profesional dan aktivis untuk bersama dengan parti.

Laporan itu juga menyebut, beliau turut mempertahankan pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk terus memastikan PAS bersama dalam Pakatan yang sering dipolemikkan oleh sebilangan kepimpinan parti itu.

"Kita mendengar apa yang dinyatakan oleh kepimpinan kita, sebagai contoh antara 10 hingga 20 kali presiden sebutkan bahawa kita bersama Pakatan dan tidak bersama Umno dan BN.

"(Penegasan itu dinyatakan) dalam muktamar, ucapan dasar, rasa saya lebih 20 kali, tetapi masih ada (kepimpinan dan ahli) tidak percaya," katanya lagi.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.