Followers

Tuesday, April 28, 2015

Saya akan pertahan ketua Pemuda Pulau Pinang, kata Nasrudin






Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi beri amaran akan mempertahankan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi hari ini memberi amaran beliau akan mempertahankan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah, jika beliau mahu dihukum secara terburu-buru.

Ahli Parlimen Temerloh itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi Pemuda PAS Pulau Pinang berkata:"Jika anda terburu-buru mahu menghukumnya, saya tidak lengah untuk mempertahankannya."

Katanya, terlalu banyak kes dakwaan salah laku dalam PAS tetapi sukar untuk sampai ke tahap tindakan disiplin kerana terpaksa melalui pelbagai peringkat perbincangan, siasatan dan penelitian.


Namun, kes Pemuda PAS Pulau Pinang ini begitu pantas dijalankan apabila ketuanya mahu diseret ke Jawatankuasa Disiplin untuk diambil tindakan, katanya dalam kenyataan itu.

"Lihat dulu apa asas tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang, dan selesaikan dengan baik.

"Jangan terburu-buru mahu menghukum anak buah sendiri sedangkan asas tindakan mereka ialah kerana sayang kepada jemaah dan memelihara maruah pucuk pimpinan," tulisnya.

Bekas ketua Pemuda PAS itu mahu isu yang timbul terlebih dulu diusahakan untuk diselesaikan dengan baik.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pada Isnin, siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap Yusni ekoran tindakan nekad Pemuda PAS Pulau Pinang memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Yusni sebelum itu mengarahkan membekukan jentera dan aset Pemuda PAS Pulau Pinang daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK itu.

Mat Sabu berkata, ia bertentangan dengan keputusan PAS Pusat berhubung arahan membantu memenangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PKR.

Yusni membuat keputusan itu kerana PKR tidak mengendahkan desakan permohonan maaf yang disuarakan mereka berhubung kenyataan Pemuda PKR Pulau Pinang yang dianggap menghina dan memfitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain Hanipa, Yusni sebelum ini turut dibela Pemuda PAS kawasan Marang dan Selayang selain 8 Pemuda PAS kawasan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam kenyataannya berkata beliau mengusahakan agar pertemuan diadakan di antara Pemuda PAS Pulau Pinang dengan Pemuda PKR Pulau Pinang, namun ia tidak berhasil.

"Pertemuan tersebut tidak menjadi kenyataan kerana keengganan pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Suhaizan berkata beliau juga tidak setuju tindakan beberapa Pemuda PKR yang menghina Hadi.

Katanya, tidak wajar saling mencampuri urusan dalaman parti rakan Pakatan Rakyat dan pada masa sama, Pemuda PAS Pulau Pinang tidak patut memboikot PRK Permatang Pauh.

Sebelum ini, Suhaizan berkata kepada The Malaysian Insider, pihaknya menyokong cadangan Yusni disiasat ekoran kenyataan boikotnya itu. – tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.