Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan dalam mesyuaratnya semalam
untuk mewartakan bomoh kontroversi Ibrahim Mat Zin, dikenali juga
sebagai Raja Bomoh, sebagai sesat dan haram, lapor Berita Harian.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata keputusan itu dicapai
setelah melihat amalan dan ajaran yang dibawa oleh bomoh tersebut yang
didapati terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
"Amalan dan ajaran Raja Bomoh itu bakal diwartakan haram dan sesat
kerana terpesong daripada agama," beliau dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, menurut akhbar itu hari ini, jawatankuasa itu tidak dapat
menjangkakan tarikh sebenar pewartaan tersebut kerana ia perlu melalui
pelbagai proses.
Harussani berkata, antara proses tersebut ialah, jawatankuasa mufti
perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan
ia perlu dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Raja Bomoh yang berpengalaman selama 50 tahun itu menjadi popular
apabila terlibat memberi perkhidmatannya dalam beberapa kes bencana
negara termasuk kejadian Highland Tower runtuh, kes pencarian mayat
semasa banjir di Kuala Dipang, Kampar, Perak dan kes pembunuhan seorang
ahli politik oleh Mona Fendy.
Terbaru, beliau mencetuskan kontroversi apabila menawarkan diri membantu
mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang hilang tahun lalu.
Raja Bomoh itu mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara bagi menggunakan kaedah ilmu tradisional dan solat hajat.
Bagaimanapun, kehadiran beliau di KLIA, dengan melakukan ritual seperti
yang digambarkan dalam filem P Ramlee 'Laksmana Do Re Mi' mengejutkan
orang ramai hingga mengundang kritikan banyak pihak.
Ibrahim dan pembantunya datang ke KLIA pada hari pertama dengan sangkar
dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu, manakala pada hari kedua
datang dengan buah kelapa dan “tikar terbang”.
Meskipun menerima kecaman, Ibrahim yang didakwa bomoh terkenal di
kalangan pemimpin Umno, mempertahankan tindakannya dengan menegaskan
upacara yang dilakukannya di KLIA itu menggunakan ayat suci Al-Quran dan
berlandaskan syariat Islam. – The Malaysian Insider/29 April, 2015.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.