Followers

Friday, April 17, 2015

Mukhriz jadi mangsa amukan penyokong Najib M FAQIH




KINI tercetus lagi politik keluarga bagi mempertahankan hegemoni politik. Datuk Seri Hishammuddin Hussein tampil mempertahankan sepupunya, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir tertekan antara jawatan Menteri Besar dan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disebut-sebut menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

Lim Kit Siang beriring dengan anaknya Lim GuaN Eng mahu berkerat rotan dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Begitu juga Gobind Singh Deo masih lagi meneruskan agenda mendiang Karpal Singh “menyergah” Kanun Jenayah Syariah yang diusahakan kerajaan Kelantan.

Inilah sebahagian episod politik keluarga di Malaysia. Namun paling menarik minat ramai sekarang dramatikal antara Najib dan Dr Mahathir.

Tidak semena-mena Mukhriz menjadi mangsa amukan penyokong Najib.

Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin memulakan peluru tabur terhadap Mukhriz. Dia mahu Menteri Besar Kedah itu meletak jawatan sekiranya enggan menyatakan sokongan terbuka kepada Najib.

Hishammuddin juga memberi signal amaran kepada Mukhriz. Katanya anak Dr Mahathir itu gagal sebagai Menteri Besar jika Umno Kedah berpecah.

“Ini tanggungjawabnya sebagai menteri besar untuk memastikan Umno Kedah tidak berpecah,” kata Naib Presiden Umno terbabit.

Ternyata para strategis Najib berjaya membuat Mukhriz panas punggung. Seperti agenda berjadual apabila semua pihak perlu menyatakan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri.

Disebut Dr Mahathir terdapat ugutan jika mereka tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun dakwanya sokongan kumpulan tertentu terhadap Najib tidak bermakna mereka menyokong 1Malaysia Developmement Bhd (1MDB) yang kini diserang di segenap penjuru.

“Mereka takut. Ada yang tanya saya berkenaan dengan 1MDB dan minta saya buat sesuatu. Sekarang ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak menyatakan sokongan kepada Najib.

“Teringat saya kepada ribuan orang yang dibawa berhimpun dan disuruh angkat sepanduk 'I love PM' dan menyanyi 'IM4U',” kata Dr Mahathir dalam entrinya di blog.

Episod yang berlaku di Kedah sekarang seperti mengulangi peristiwa 2013. Namun ia tidak membabitkan jawatan menteri besar, sebaliknya mendesak ketua negeri turun daripada pimpin parti.

Penyokong PAS Dun Sungai Limau dikatakan mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak meletak jawatan Pesuruhjaya PAS negeri.

Mereka mendakwa Ustaz Azizan tidak menghormati Dewan Ulamak PAS Kedah.

Ternyata sejarah mengulangi peristiwa serupa dalam wajah yang berbeza.

Pertembungan Dr Mahathir-Najib sudah mengheret banyak pihak sehingga kepada istana.

Biar pun sokongan terhadap Najib jauh lebih melebar, namun tidak kurang yang doakan semoga Dr Mahathir panjang usia.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan pelakon Rozita Che Wan sanggup menentang arus. Mereka memulakan sokongan terbuka kepada kelompok Dr Mahathir.

Kemudian muncul bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin membela kedua-dua artis terbabit. Perkasa yang pernah mengagungkan Dr Mahathir sebelum ini nampaknya mahu mengambil jalan selamat.

Drama yang semakin panas sekarang sebenarnya sudah dikesan awal Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Pada Ogos tahun lepas mereka meminta Dr Mahathir Mohamad menghentikan ‘perang dingin’ secara terbuka terhadap Najib.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mahu bekas perdana menteri terbabit menyuarakan sebarang teguran secara kekeluargaan kepada Najib.

Sejarah

Pada 2006 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menghadapi asakan bertubi-tubi Dr Mahathir, Umno Terengganu mengadakan konvensyen khas bagi menyokong Pak Lah ketika itu.

Najib pula tampil mahu rakyat dan pemimpin sokong Pak Lah. Sekarang suara nyaring Timbalan Perdana Menteri seperti tidak kedengaran.

Melihat situasi yang semakin membarah itu Umno Kelantan menganjurkan solat hajat dan doa selamat kepada pemimpin negara.

Program berkenaan dijadual diadakan di Dataran Sekolah Kebangsaan Datuk Hamid 2 Pasir Mas. Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Mas juga mengarahkan guru lelaki dan guru Kafa setiap sekolah hadir pada program tersebut malam 16 April.

Ini sudah cukup menggambarkan rumahtangga Umno sudah benar-benar goyah sekarang. Siapa lagi mangsa Dr Mahathir selepas ini. Musa Hitam, Anwar Ibrahim, Pak Lah sudah melaluinya. - HARAKAHDAILY 17/4/2015

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.