Followers

Saturday, April 18, 2015

MOHD NAZLAN B DATO MOHD GHAZALI DILANTIK PESURUHJAYA KEHAKIMAN

Hakim Disaran Letak Ikrar Sumpah Jawatan Atas Meja Pejabat


Hasil carian imej untuk mohd nazlan mohd ghazali 
 
PUTRAJAYA,  (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini menyarankan supaya semua hakim meletakkan salinan ikrar sumpah jawatan di atas meja pejabat masing-masing agar mereka sentiasa mengingati tanggungjawab dan janji sebenar semasa memegang jawatan itu.

Arifin juga menyeru semua hakim supaya berusaha memenuhi janji sebagaimana yang telah diikrarkan semasa memegang jawatan sekali gus mendukung prinsip kebebasan kehakiman.

Beliau berkata penyalahgunaan kuasa dalam kebebasan kehakiman akan memberi kesan kepada persepsi dan tahap keyakinan masyarakat terhadap badan itu.

"Oleh itu, suka saya menasihati anda semua untuk sentiasa ingat dan mentaati sumpah yang dilafazkan tersebut. Janganlah sesekali kita cuba bertindak di luar batasan janji itu. Ini kerana kejujuran dalam menjalankan kewajipan kehakiman merupakan salah satu penanda aras kepada kebebasan kehakiman," katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah lima Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman di sini.

Beliau juga mengingatkan badan itu bahawa kebebasan kehakiman merupakan satu kebebasan yang diiktiraf sejagat menerusi Deklarasi Hak Asasi Sejagat (UDHR).


Arifin berkata jaminan oleh UDHR ini memperlihatkan bahawa kebebasan kehakiman memainkan peranan penting bagi memastikan, tidak ada individu yang mengatasi dan lebih berkuasa daripada undang-undang atau ditindas oleh undang-undang.

Beliau menegaskan kebebasan kehakiman itu adalah sebagaimana yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh kesemua 34 Ketua-Ketua Hakim Negara-Negara Asia dan Pasifik dalam Prinsip Kebebasan Kehakiman 1995.

"Mahu atau tidak, kita perlu mengakui bahawa para hakim memainkan peranan yang sangat unik dalam masyarakat. Malah, persepsi dan pengharapan masyarakat terhadap hakim adalah sangat tinggi," katanya.

Beliau juga menasihati lima Pesuruhjaya Kehakiman yang baru dilantik itu supaya memberi perhatian kepada tanggungjawab dan beban yang menanti untuk digalas seiring dengan sumpah jawatan yang dilafazkan.

Arifin berkata pelantikan mereka itu juga merupakan satu penghormatan daripada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara kepada badan kehakiman yang menjadi tonggak kedaulatan undang-undang negara.

Lima Pesuruhjaya Kehakiman itu ialah Pegawai Khas I kepada Arifin, Dr Alwi Abdul Wahab, 48, Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Bache, 57, peguam Datuk Mohd Firuz Jaffril, 47, penasihat undang-undang Bahagian Korporat dan Undang-Undang Maybank Berhad Mohd Nazlan Dato Mohd Ghazali, 48 dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan Sarawak Gabriel Gubis Humen, 59.

Kesemua mereka menerima watikah pelantikan daripada Arifin selepas selesai mengangkat sumpah jawatan dan taat setia.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.