Followers

Wednesday, April 1, 2015

Ibrahim Ali Ramal PR Tawan Putrajaya pada PRU14


KUALA LUMPUR 31 Mac - Pakatan Rakyat (PR) mungkin bakal menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal mengawal kenaikan harga barang sujurus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April nanti.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Kerajaan Pusat perlu mengawal orang tengah seperti pemborong dan pengilang yang mungkin mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang selepas GST.

“Kita tahu cabaran kerajaan adalah sama ada mampu atau tidak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menangani kesempatan orang tengah ini.

“Kalau kita lihat semasa kenaikan harga minyak, tidak mudah untuk KPDNKK mengawal kenaikan harga barang ketika itu. Sebab kakitangan KPDNKK ini bukan ramai pun,” ujar beliau dalam satu sidang media semalam di Pejabat Perkasa, di sini.

Beliau menjelaskan, rakyat Malaysia dilihat masih terkeliru dengan perlaksanaan GST menyebabkan mereka mudah beremosi apabila mendapat maklumat yang kurang tepat.

“Masyarakat akan membuat perbandingan yang mana lebih baik, sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau GST. Namun, apa-pun yang terjadi selepas perlaksanaan GST ini, rakyat harus mendapat hasilnya.”

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkata, kerajaan harus membuat pertimbangan dengan kadar segera untuk meningkatkan gaji pekerja melalui skim gaji minima bagi mengatasi risiko kos sara hidup tinggi rakyat.

Katanya, kerajaan perlu meneliti semula tahap pendapatan gaji di Malaysia yang secara puratanya masih pada paras terendah.

"Daripada data Jabatan Perangkaan Malaysia, bahagian gaji dari ekonomi di Malaysia hanya satu per tiga atau lebih kurang 30 peratus. 70 peratus yang lain adalah keuntungan atau pendapatan modal.

"Di negara-negara maju pembahagian antara gaji dan keuntungan adalah terbalik iaitu 70 peratus gaji dan 30 peratus keuntungan peniagaan.

"Jelas daripada data ini menunjukkan bahawa ada ketidakadilan dan keseimbangan berlaku dalam negara kita.

Beliau juga berkata, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) hanya mampu menampung perbelanjaan kira-kira RM50 sebulan dan dasar jumlah pendapatan rakyat perlu seiring dengan kos sara hidup yang sedia ada.

"Untuk mengatasi gejala kos sara hidup yang tinggi dengan gaji rendah, PERKASA mendesak kerajaan dengan segera mengkaji semula dan melaksanakan sepenuhnya dasar gaji minima supaya dinaikkan serta-merta pada tahun ini kepada RM1,200 dari tahap sedia ada RM900 sebulan dan seterusnya kepada paras anggaran RM1,700-RM1,800 pada tahun 2020.

"Hanya melalui cara ini apa yang dijanjikan kerajaan dalam Bajet 2015 untuk menaikan tahap nisbah gaji dan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 40% dapat dicapai. Kalau tidak, ianya hanya sekadar retorik," tegasnya.
 
Mimpi Senja

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.