Followers

Sunday, April 12, 2015

Himpunan Kita Lawan di JB, 2 ADUN ditangkap

   

Dua ADUN Johor adalah antara empat orang yang ditangkap di satu perhimpunan di Johor Bahru hari ini, demikian menurut sekretariat Kita Lawan.

Kedua-duanya ialah ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah dan ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin.

Turut ditahan ialah pembantu Puah, Danny Tan dan Sidiqin Omar, seorang aktivis dengan Kelab Bangsar Utama, yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Sekretariat itu berkata mereka berempat telah dibawa ke Balai Polis Sentral di Johor Bahru.

Perhimpunan di Johor Bahru yang bermula pada pukul 4 petang tadi adalah sebahagian daripada jelajah Kita Lawan ke seluruh negara untuk mempromosi perhimpunan anti-GST pada 1 Mei di Kuala Lumpur.

Pada asalnya dianjurkan untuk menuntut pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, gabungan Kita Lawan kemudiannya turut memperjuangkan pelbagai isu, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengarah strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berempat ditahan di bawah seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Seksyen 9 mengkehendaki peserta memberi notis 10 hari kepada pihak berkuasa sebelum mengadakan protes.


Mengimbas kembali sebelum penangkapan mereka, Akmal berkata sehingga 500 peserta berkumpul di luar pusat membeli-belah City Square di Johor Bahru dari jam 4 petang hingga 4.30 petang sebelum polis meminta mereka beredar.

Para peserta kemudian berarak di kaki lima di Jalan Wong Ah Fook, tetapi bersurai pada kira-kira jam 5.45 petang selepas berunding dengan pihak polis.

Akmal mendakwa peserta tidak menghalang lalulintas dan ia berlangsung secara aman.

"Kemudian kami mendapat panggilan dari Sidiqin mengatakan dia dikelilingi oleh polis di sebuah hotel, jadi Puah pergi untuk membantunya. Kemudian Puah ditangkap, bersama-sama dengan Danny (Tan).

"Pada sekitar masa yang sama kami diberitahu bahawa Hong Pin (kiri) ditangkap di lokasi lain, diikuti dengan penangkapan Sidiqin," kata Akmal.

Beliau percaya polis juga mencarinya, tetapi menambah dia sedang dalam perjalanan ke satu acara di Batu Pahat.

Bagaimanapun Akmal menegaskan beliau akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis sekiranya dia dipanggil untuk disoal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.