Followers

Thursday, April 9, 2015

Hampir RM400K untuk ADUN S'gor digantung

   

Digantung daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak seburuk yang disangkakan apabila dewan negeri memutuskan untuk membayar kembali gaji mereka yang sepatutnya diterima.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor pada 28 Januari lalu memutuskan membayar “gaji tertunggak” bernilai RM395,583.90 untuk tujuh wakil rakyat yang terdiri daripada enam BN dan seorang DAP.

ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim (kiri) yang digantung 18 bulan pada era pentadbiran BN pada 2005 akan mendapat bayaran paling banyak sebanyak RM99,700.20.

Manakala lima orang wakil BN, termasuk bekas menteri besar Mohamad Khir Toyo, yang digantung dewan enam bulan akan mendapat RM294,383.70 atau 9,812.79 setiap seorang.

Selain Khir, mereka ialah bekas ADUN Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim, bekas ADUN Sabak Datuk Warno Dogol, bekas ADUN Dengkil Datuk Marsum Paing dan bekas ADUN Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar.

Bagi bekas ADUN Seri Serdang dan bekas ketua pembangkang negeri Datuk Satim Diman yang digantung sebulan akan mendapat bayaran RM1,500.

Rujuk kes MP Puchong

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor Hannah Yeoh (bawah) hari ini.

"Kita akan membayar balik gaji tujuh ADUN yang tertunggak. Kita akan uruskan proses pembayarannya dan ia memerlukan sedikit masa," katanya pada sidang media di lobi bangunan Annex di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, jumlah pembayaran tersebut tidak termasuk dalam belanjawan kerajaan negeri untuk tahun 2015.

"Amaun ini tidak termasuk dalam bajet 2015. Pada bajet yang akan datang untuk tahun depan, baru boleh kita buat bajet tambahan," katanya.

Yeoh menjelaskan keputusan untuk membayar gaji tertunggak itu dibuat dengan merujuk kes yang dimenangi oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Dalam kes itu, katanya, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan semasa digantung kepada beliau selama setahun pada 2009.

"Bayaran gaji akan dibayar mengikut gaji semasa waktu itu (mereka digantung) dan bukan mengikut gaji (ADUN) sekarang," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.