Followers

Sunday, April 19, 2015

Gangster Mengganas, Bunuh Dan Bakar Pengawal Keselamatan

 


Sekumpulan lima lelaki bertindak ganas menyerang tujuh pengawal keselamatan dan membakar tiga pondok kawalan, menyebabkan seorang daripadanya terbunuh dalam kejadian di kawasan perumahan mewah Bandar Bukit Raja di sini, pukul 1.45 pagi ini.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada berebut kawasan kawalan keselamatan.

Mangsa, Muhammad Ridzhuan Che Bi, 26, yang baru berkahwin pada 28 Februari lalu maut selepas ditetak dan dibakar di salah sebuah pondok kawalan berkenaan.

Enam lagi rakan setugas mangsa yang sedang membuat rondaan turut cedera parah akibat ditetak.

Lima lelaki yang menaiki motosikal Honda EX5 difahamkan datang menyerang mereka menggunakan senjata tajam menyebabkan mangsa melarikan diri ke dalam pondok pengawal.

Suspek terus bertindak ganas dengan membakar pondok kawalan terbabit sehingga menyebabkan mangsa terperangkap di dalam pondok dan maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Zailan Tasir berkata, dua lagi pondok pe­ngawal yang terletak dalam jarak 500 meter turut diserang oleh kumpulan lelaki terbabit.

Selain itu, katanya, enam lagi pengawal keselamatan mengalami kecederaan akibat ditetak kumpulan lelaki terbabit.

“Kita percaya punca kejadian ialah akibat perebutan kawasan tetapi masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Hasil siasatan awal mendapati tidak ada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan pondok kawalan itu juga baharu dibina,” katanya ketika dihubungi di sini.

Zailan berkata, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat serta rawatan.

“Semua mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan stabil. Tiada senjata dijumpai di tempat kejadian dan usaha mengesan suspek masih diteruskan berdasarkan maklumat daripada mangsa dan saksi-saksi lain di tempat kejadian,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.