Followers

Wednesday, April 22, 2015

Felda perkenal konsep sewa beli bantu generasi kedua miliki rumah

Felda, dalam usaha memastikan generasi keduanya mampu memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda, akan memperkenalkan kaedah sewa beli bagi mereka yang bekerja sendiri tanpa mempunyai penyata gaji.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (gambar, kanan) berkata langkah itu diambil bagi membantu golongan belia yang menjalankan perniagaan sendiri dan tiada penyata gaji untuk memiliki kediaman.

"Mereka boleh sewa dahulu sehingga lima tahun dan jika mereka mempunyai duit yang cukup dalam tempoh masa lima tahun atau selepas tempoh itu, mereka boleh beli rumah itu.

"Felda juga mungkin akan memberi diskaun kepada pembeli dengan mengambil kira beberapa faktor seperti membuat bayaran sewa yang efisien, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Semai Bakti Felda Keratong Satu, kira-kira 80km dari Rompin, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Isa berkata Felda kini dalam proses membuat pinjaman bank bagi membina 20,000 unit rumah dan akan memulakan kerja pembinaan selepas pinjaman diluluskan.

Katanya 20,000 unit rumah itu dijangka siap menjelang 2017 atau awal 2018, manakala 9,000 lot rumah  pun diluluskan sehingga kini.

Selain itu, Felda akan turut mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi menyelia dan menapis pemohon yang layak memiliki rumah tersebut, katanya.

Pada 2013, Felda memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bagi memberi peluang kepada generasi keduanya memiliki rumah.

Mengenai pemberian subsidi daripada kerajaan bagi membolehkan generasi baharu Felda memiliki kediaman, Isa berkata ia bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara. – Bernama, 21 April, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.