Followers

Monday, April 20, 2015

Berita Gempar Hari Ini - Tuan Guru Haji Hadi Wajib Baca Artikel Ini.


Kerajaan Negeri Kelantan perlu menghantar semula notis untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan rang undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada persidangan akan datang, kata Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. 

Beliau berkata ini berikutan usul berkenaan tidak sempat dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lepas setelah bersidang selama 20 hari.

"Setiap kali penggal persidangan Parlimen (berakhir), usul (yang tidak sempat dibentangkan dan dibahaskan) kena dimasukkan (hantar notis) balik ... kena beri notis 14 hari sebelum hendak bentang (sebarang usul). 

"Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan serahkan notis bagi membentangkan usul berkenaan selepas Parlimen mengeluarkan notis kepada anggota Parlimen untuk persidangan Dewan Rakyat yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini. 

Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang sebelum ini telah mengemukakan notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Tuan Guru Haji Hadi Wajib Baca Artikel Ini

Rang undang-undang persendirian itu telah dimasukkan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 9 April. 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN BN. 

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata PAS akan mengadakan perbincangan dengan menteri bertanggungjawab yang akan bertindak sebagai pencadang dan usul berkenaan juga perlu mendapat sokongan 15 anggota Dewan Rakyat sebelum boleh dibahas. 

"Apa-apa pun mesti ada persetujuan daripada kerajaan, tak boleh lari. Bukan isu hudud (rang undang-undang persendirian) sahaja, malah isu-isu lain juga," katanya. 

Mengulas kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang enggan mengadakan sebarang mesyuarat dengan PAS selepas berakhirnya pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dijadual 7 Mei ini, anggota Jawatankuasa (AJK) PAS pusat itu berkata tindakan tersebut hanya merugikan pakatan pembangkang. 

"Kalau pakatan pembangkang tak ada hubungan jadi yang rugi semua parti bukan PAS sahaja, DAP pun rugi, PKR pun rugi, jangan ingat PAS sahaja yang terjejas. 

"Tidak timbul isu PAS keluar daripada pakatan pembangkang... benda itu jelas. Muktamar masih lagi berpegang kami (PAS) masih lagi (dalam) pakatan pembangkang. Soal orang nak bekerjasama itu adalah soal lain, tapi kami masih lagi dalam pakatan pembangkang," tegas Mohd Amar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.