Followers

Friday, March 13, 2015

Tuntutan saman keluarga Altantuya mungkin dipinda

 
Tuntutan saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita Mongolia itu
berkemungkinan besar dipinda berdasarkan keterangan terbaharu yang terkandung dalam rekod rayuan Mahkamah Persekutuan.
  
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan tiga anggota keluarganya berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Asyida Abd Rahim@Ibrahim hari ini menetapkan tarikh pengurusan kes tuntutan saman sivil berkenaan pada 23 April depan.
  
Beliau berkata pihaknya menerima dokumen dan rekod rayuan relevan bersabit kes jenayah pembunuhan kejam wanita itu oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada Mahkamah Persekutuan, minggu lepas.
  
"Banyak rekod yang kita terima berhubung kes berkenaan dan memerlukan masa untuk penelitian sebelum berkemungkinan besar meminda saman sivil itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini.
  
Pada 4 Jun 2007, Setev dan ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, keluarga Altantuya menuntut pampasan RM100 juta.
  
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.
  
Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.
  
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
  
Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
  
Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.
  
Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membunuh Altantuya.
  
Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.
  
Saman sivil yang difailkan lebih enam tahun lepas itu tertangguh kerana pihak Mahkamah Tinggi mahu prosiding jenayah berhubung kes berkenaan diselesaikan terlebih dahulu.
  
-Bernama
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.