Followers

Tuesday, March 17, 2015

Tahan Nurul Izzah memalukan, kata pemerhati hak asasi antarabangsa


Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar melambai kepada media di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar melambai kepada media di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia turut mengutuk tindakan pihak berkuasa Malaysia itu.

Timbalan Pengarah ‎Human Rights Watch Asia Phil Robertson yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan apabila kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menggunakan Akta Hasutan bagi menjatuhkan pemimpin pembangkang.

"Penahanan Nurul Izzah menunjukkan kerajaan Malaysia seperti tidak mengenali batas dalam usaha me‎nyekat kebebasan bersuara dan jenayah dialog yang menjadi sebab kemunduran dunia.

"Perdana menteri dan kerajaannya patut berasa malu menggunakan Akta Hasutan seperti kapak untuk menjatuhkan ahli pembangkang, aktivis dan sesiapa sahaja yang lantang menyuarakan kritikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Robertson berkata, Najib harus sedar setiap tindakan menahan pembangkang‎ menggunakan Akta Hasutan umpama satu langkah ke arah penghapusan hak demokrasi di negara ini sekali gus dianggap sebagai satu kempen penderaan sehingga bila-bila.

Sementara itu, penahanan Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR turut dikutuk DAP yang mempersoalkan kewajaran ‎tindakan pihak berkuasa itu.

Setiausaha DAP Lim Guan Eng berkata tindakan itu jelas merupakan salah satu lagi perbuatan salah guna kuasa pihak polis.

‎Lim turut menuntut polis melepaskan anak sulung kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri An‎war Ibrahim itu dan membandingkan layanan berbeza pihak berkuasa ketika isu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ketika Ismail Sabri mahu disoal siasat oleh pihak polis, tidak pula menteri Umno itu ditahan reman semalaman oleh mereka. Malah pihak polis pula menyatakan Ismail seorang yang ‘sibuk’ dan tidak mempunyai masa untuk disiasat.

"Tetapi kini ketika Dewan Rakyat sedang bersidang, pihak polis bertindak menangkap Nurul Izzah, seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, untuk disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran apa yang diucapkannya di dalam dewan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah sepatutnya hadir ke balai polis hari ini untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan #KitaLawan‎, bagaimanapun menurut peguamnya, beliau ditahan kerana ucapannya di Parlimen pada minggu lalu.

Minggu lalu, bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah kerana dikatakan menghina institusi kehakiman dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Lim menegaskan DAP akan bersolidariti dan menyokong Nurul Izzah sambil mendesak Putrajaya untuk berhenti menggunakan pihak polis sebagai budak suruhan yang menahan, mengganggu dan memangsakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). – 16 Mac, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.