Terlalu bergantung kepada hutang merupakan satu daripada antara banyak
cabaran yang dihadapi amalan sekarang yang menjadi halangan serius untuk
mencapai kemapanan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah perlu untuk mengenal pasti terlebih dahulu dan memahami
cabaran seumpama itu dalam merangka strategi untuk mentransformasikan
modal sistem kewangan sekarang kepada yang memudahkan pertumbuhan
ekonomi di samping memastikan kemapanan.
Sultan Nazrin Shah bertitah demikian dalam ucapan baginda yang bertajuk
'Mencari Kemapanan: Peranan Kewangan Islam dalam Perubahan Transformasi"
pada Persidangan Meja Bulat SC-OCIS Ke-6 mengenai Kewangan Islam di
Ditchley Park, Oxfordshire, pada Sabtu.
Teks ucapan baginda dikeluarkan kepada Bernama.
Memetik Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD), Sultan
Nazrin Shah bertitah "Paras hutang tinggi boleh mewujudkan kelemahan,
yang meluaskan dan menyebarkan kejutan harga aset dan makroekonomi."
Ia juga "menghalang keupayaan isi rumah dan perusahaan kepada penggunaan
dan pelaburan yang lancar dan kepada kerajaan untuk mengurangkan
kejutan yang teruk," titah baginda.
Baginda bertitah kesan hutang memburukkan lagi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan ekonomi semasa tempoh kegawatan.
"Terlalu bergantung kepada hutang mungkin akan menyebabkan gangguan
teruk kepada pasaran serta kepada kestabilan sosio-ekonomi dan justeru
itu perlu ditangani sekiranya kita mahu mencapai kemapanan yang lebih
baik dalam sistem kewangan.
"Kebimbangan berkenaan dengan hutang menyokong pandangan Islam bahawa
hutang amat tidak digalakkan dan model atau kontrak berasaskan ekuiti
adalah pilihan kerana ia selaras dengan Maqasid al Syariah atau objektif
Syariah," titah baginda.
Sultan Nazrin Shah, yang juga Penaung Diraja bagi Insiatif Kewangan
Islam Malaysia bertitah, kebencian Islam terhadap hutang adalah
berasaskan, antara lainnya, kepada kemungkinan akses kepada hutang
mendorong seseorang itu berbelanja melebihi kemampuannya.
"Dan apabila seseorang berbelanja mengikut tahap kekayaan atau
pendapatannya, kemungkinan beliau berdepan masalah kewangan adalah tipis
dan justeru itu beliau mampu mengekalkan gaya hidupnya.
"Sebagai tambahan, hujahan ini boleh diguna pakai kepada sistem kewangan
yang lebih besar. Tambahan pula, elemen perkongsian risiko sesuatu
kontrak berasaskan ekuiti menggalakkan hubungan lebih saksama antara
pihak-pihak yang berkontrak yang secara kolektifnya menjadi perkiraan
yang lebih mapan," titah baginda.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.