Followers

Wednesday, March 18, 2015

Selepas Nurul Izzah, polis akan siasat Nurul Nuha OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA

 
Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mendukung anak saudaranya iaitu anak kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah ketika ditahan di balai polis mengikut Akta Hasutan, petang semalam.

Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mendukung anak saudaranya iaitu anak kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah ketika ditahan di balai polis mengikut Akta Hasutan, petang semalam.

Selepas Nurul Izzah Anwar bermalam di lokap, polis akan memanggil adiknya Nurul Nuha untuk memberikan keterangan berhubung perhimpunan #Kitalawan pada 7 Mac lepas.

Nurul Nuha berkata, polis memberitahunya, selepas Nurul Izzah, beliau akan turut disiasat berhubung perhimpunan yang dihadiri lebih 5,000 penyokong di depan kompleks beli-belah Sogo, minggu lalu.

"Seorang superintenden polis memberitahu mereka mahu mengambil kenyataan saya," kata Nurul Nuha kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

"Masih belum ada tarikh. Polis cuma beritahu akan hubungi saya apabila sampai masanya untuk ke balai polis memberikan keterangan,” katanya.

Nurul Nuha, anak kedua Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kempen March2Freedom untuk menuntut pembebasan ayahnya yang dihukum penjara 5 tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.



Semalam Nurul Izzah ditahan di Pusat Tahanan Reman Jinjang, Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana ucapannya yang didakwa berunsur hasutan di Dewan Rakyat.

Malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut ditahan kerana terlibat dengan perhimpunan pada 7 Mac itu.

Selepas dibebaskan hari ini, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata beliau mendapat maklumat, adiknya juga bakal disiasat polis.

"KPN sepatutnya menumpukan dalam menangkap penjenayah berat dan melindungi Malaysia serta membuatkan Sirul didakwa atas pembunuhan dalam menebus kesalahannya," katanya kepada pemberita merujuk kepada Khalid dan pembunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu, Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

Nurul Izzah berkata KPN menyalahgunakan kuasa apabila menahannya.

"Saya rasa ia jelas penahanan saya adalah penyalahgunaan kuasa daripada KPN dan saya menuntut agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab.

"Saya ada imuniti (di Parlimen) menurut Artikel 63 (2) Perlembagaan Persekutuan. Dan saya ada imuniti untuk menyuarakan isu di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas dibebaskan. – 17 Mac, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-nurul-izzah-polis-akan-siasat-nurul-nuha#sthash.ydiNEcJe.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.