Kajian oleh Merdeka Center dengan kerjasama Malaysian Insider baru-baru
ini yang mendapati Hishammuddin Hussein sebagai "Perdana Menteri masa
depan" yang paling dikehendaki benar-benar membuatkan Naib Presiden UMNO
nombor tiga itu berbunga-bunga hatinya.
Walaupun beliau cuba
menafikan kajian itu dapat merangsang keghairahannya, malah
menganggapnya sebagai percubaan melaga-lagakannya dengan Perdana
Menteri, hakikat yang ditunjukkannya adalah sebaliknya.
Beliau
kini nampaknya bersungguh-sungguh mahu memastikan kerusi Perdana Menteri
dan kediaman di Seri Perdana itu tidak terlepas ke tangan orang lain.
Langkah awal yang diambilnya ialah mengembalikan semula Akbar Khan atau
AK kembali berkhidmat dengannya bagi mengetuai jentera politiknya.
AK sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Libaran, Sabah dan kemudian
sebagai Setiausaha Politik Hishammuddin ketika di Kementerian
Pendidikan. Semua gerakan politik Hishammudin ketika itu diatur dan
digerakkan oleh AK.
Selepas AK meletakkan jawatan sebagai
Setiausaha Politik, tempatnya digantikan oleh Markiman Kobiran selama
beberapa tahun dan kini jawatan itu diisi anak saudara Hishammuddin, Onn
Hafiz yang juga Exco Pemuda UMNO serta Ketua Pemuda Sembrong.
Sebaik berhenti berkhidmat dengan Hishammuddin, AK kembali menumpukan
kepada perniagaan dan urusan peribadinya. Kini AK diambil semula bukan
saja untuk mengembalikan prestasi Hishammuddin yang merudum dalam
pemilihan 2013 lalu, tetapi juga untuk memastikan gapaian kerusi
Perdana Menteri yang diidamkan tidak terlepas begitu saja.
Dengan
AK berkhidmat semula mengetuai jentera politiknya, tidak diragui lagi
ia adalah langkah untuk Hishammuddin terus melonjak ke hadapan kerana AK
memang dikenali mempunyai ciri-ciri terbaik bagi tujuan itu.
Hishammuddin juga, melalui AK, dalam masa yang sama mulai mengumpulkan
rakan-rakan lamanya yang pernah menjadi Exco dan Ketua Pemuda
bahagian-bahagian untuk terus berdampingan dengannya.
Dalam satu
program UMNO Melaka baru-baru ini, sebahagian mereka dijemput hadir
bersama mengiringi Hishammuddin ke negeri itu. Ini adalah sebagai
persediaan awal "menjaga" mereka, selain untuk menunjukkan kekuatan
sokongan yang dimilikinya.
Sementara itu, dalam Pameran Maritim
dan Udara Langkawi atau LIMA 2015 yang bermula pada 17 hingga 22 Mac
ini, dipercayai lebih ramai pemimpin UMNO dari seluruh negara akan
diterbangkan ke pulau tersebut. Pameran LIMA adalah anjuran Kementerian
Pertahanan di mana Hishammuddin adalah menterinya ketika ini.
Mereka dibawa menyaksikan pameran dua tahun sekali itu untuk
berjalan-jalan dan makan angin serta dengan harapan dapat memastikan
sokongan yang diperlukan oleh Hishammuddin bagi perjalanan politik masa
depannya terus bertambah.
Majoriti yang dibawa ke Langkawi ini
adalah bekas ketua-ketua Pemuda bahagian yang mana mereka itu kini
memegang pelbagai jawatan penting di peringkat bahagian dan juga negeri.
Berbanding ketika Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan yang
turut membawa ramai pemimpin UMNO seluruh negara ke Pameran LIMA,
persiapan yang dilakukan oleh Hishammudin dalam melayan
pemimpin-pemimpin bahagian ini jauh lebih teratur dan "first class"
sifatnya.
Tidak seperti Zahid yang hanya menyediakan penerbangan
dari Subang ke Langkawi untuk tujuan itu, Hishammuddin sebaliknya
dikatakan menyediakan penerbangan daripada beberapa negeri terus ke
Langkawi untuk pemimpin-pemimpin peringkat bahagian tersebut.
Untuk itu, adalah dipercayai juga kehadiran pemimpin UMNO dari seluruh
negara di Langkawi untuk menyaksikan pameran LIMA kali ini turut lebih
besar jumlahnya berikutan kemudahan penerbangan lebih menyeluruh yang
disediakan oleh jentera politik Hishammuddin yang diketuai oleh AK.
Sebagaimana Hishammuddin yang sedang berbunga-bunga hatinya kerana
dianggap lebih menjadi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri berbanding
pesaingnya yang lain dan sedang berusaha ke arah itu, pemimpin-pemimpin
peringkat bahagian yang dibawa bak "rombongan cik kiah" ini tentulah
juga hadir dengan hati yang mekar untuk melihat anak Hussein Onn itu
dapat menurut jejak sepupunya, Najib Razak sebagai anak bekas Perdana
Menteri yang turut berjaya mendaki sehingga ke puncak Seri Perdana. (SH
16/03/2015)
Posted by AMIR Wartawan Rasmi LR at Monday, March 16, 2015.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.