Followers

Tuesday, March 10, 2015

Protes: MP, Adun cukur kepala depan Parlimen

 
Protes cukur kepala diadakan di pintu pagar utama Parlimen hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Speaker yang tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke sidang Parlimen.

KUALA LUMPUR - Tidak puas hati dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tujuh Adun, termasuk ahli parlimen dan orang awam  mengambil keputusan mencukur kepala masing-masing sehingga botak di hadapan pintu pagar utama Parlimen, pagi ini.

Antara yang turut mencukur kepala termasuk Adun Machang Bubuk, Pinang (DAP) Lee Khai Loon, Ahli Parlimen Kota Kinabalu (DAP), Jimmy Wong, Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Ahli Parlimen Pasir Puteh (Pas), Nik Maizan Nik Mohd.

Menurut Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin, ia sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker yang tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke sidang Parlimen kali ini.

"Ada dua perkara utama yang ditekankan dalam protes aman hari ini. Yang pertama adalah bantahan terhadap keputusan Speaker yang tidak benarkan Anwar hadir ke Parlimen.

"Yang kedua adalah tuntutan kami terhadap pembebasan Anwar dari penjara," katanya ketika ditemui Sinar Online.

Protes mencukur kepala di hadapan Parlimen merupakan bantahan kali pertama seumpamanya berlaku.

Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul dalam kenyataannya pada kelmarin menyatakan bahawa Pandikar Amin menjawab surat permohonan kehadiran Anwar ke Parlimen yang dikemukakan pada 27 Februari lalu.

Menerusi surat tersebut, Speaker menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk hadir ke Dewan Rakyat .

Dalam pada itu, Ahli Parlimen PR turut melakukan demonstrasi bantahan secara aman di hadapan pintu pagar utama Parlimen.

"Ini merupakan satu lagi siri bantahan terhadap kerajaan yang mana ia perlu diberi perhatian serius. Rakyat juga turut sama membantah pemenjaraan Anwar.

"Ini mesej yang kita tekankan kepada kerajaan dan juga Speaker, bahawa Anwar perlu diberi peluang hadir ke Parlimen sebagai Ketua Pembangkang dan dibebaskan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.