Followers

Tuesday, March 31, 2015

Penjelasan Presiden PAS berkenaan "Private Bill" Akta 355 yang di bawa ke parlimen




Private bill

Usaha membawa private bill ke parlimen hanya satu usaha kecil kita. Ia belum lagi ke tahap pelaksanaan hudud secara menyeluruh. Ia hanya satu usaha untuk memperbetulkan kepincangan di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Agama-agama lain bebas diamalkan, sedangkan Islam tidak bebas dilaksanakan dengan sekatan seperti yang terkandung di dalam Akta 355 berkait dengan kuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman tidak lebih dari 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan sedangkan undang-undang Islam menetapkan 40 ke 80 sebatan bagi kes minum arak, 80 sebatan bagi kes qazaf dan 100 rotan bagi kesalahan zina.

Maka akta ini perlu dipinda bagi memberi laluan kepada sebahagian kecil undang-undang Islam untuk dilaksanakan. Bukan semua undang-undang Islam. Ia perjuangan yang masih panjang kerana untuk melaksanakan undang-undang Islam secara keseluruhannya memerlukan pindaan 


Perlembagaan Persekutuan perkara 76. Ia memerlukan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat sedangkan untuk meminda Akta 355 ini hanya memerlukan simple majoriti.

Kita tahu perangai Umno macam mana. Tapi kita tetap mengambil risiko membentangkan private bill ini dengan anggapan parlimen kita masih didominasi oleh ahli-ahli parlimen beragama Islam. Dan kita mengharapkan sokongan dari semua ahli parlimen beragama Islam sama ada dari PAS, Umno dan PKR.

Jika Umno sokong, tak perlulah kita tanya mereka ikhlas atau tak ikhlas. Ikhlas ini kerja Allah, bukan kerja kita. Dan jika mereka menipu dan cuba memperdayakan kita, kita tidak harus gentar kerana kita ada Allah, dan Allah menjanjikan kepada kita: 


"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman." (Al-Anfal: 62)

Mesyuarat agung kali ini adalah mesyuarat memilih pimpinan yang baru. Kepimpinan adalah amanah. Mereka adalah nakhoda yang  perlu meneruskan perjuangan ini berpandukan Al-Quran. Justeru pilihlah nakhoda yang pandai baca peta. Jangan pilih nakhoda yang tak tahu baca peta. Dan peta kita adalah Al-Quran

Petikan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau di Darul Hikmah pada 29 Mac 2015 yang dicatat oleh Aris Azlan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.