Followers

Saturday, March 14, 2015

Pengundi Melayu mahu bakal PM ada kelayakan Islamik, menurut kajian OLEH ANISAH SHUKRY


Kebanyakan pengundi Melayu merasakan kriteria paling utama bakal Perdana Menteri Malaysia ialah perlu adanya “kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman”, dengan majoriti lebih mengutamakannya daripada kriteria lain seperti 'kerajinan' dan “mempunyai kemahiran ekonomi dan pengurusan”, menurut satu kajian baru-baru ini.

Kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center itu menunjukkan pengundi Melayu berasa “mengambil pendirian tegas terhadap rasuah” antara sifat yang paling penting diperlukan pada seorang perdana menteri, walaupun Pakatan Rakyat (PR) terus menggunakan dakwaan aktiviti rasuah Barisan Nasional (BN) sebagai senjata utamanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan parti pemerintahnya.

Apabila diminta memilih dua kualiti tertinggi pada seseorang perdana menteri, 35.8% Melayu memilih kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman manakala hanya 24.3% memilih pendirian yang tegas dalam memerangi rasuah.

Kriteria lain yang disenaraikan sebagai pilihan ialah “kemahiran ekonomi dan pengurusan” yang mendapat 8.6%, “ketegasan” (7.8%), “jujur” (6%), “rajin” (4.8 %), “adil/saksama kepada semua kaum” (4.6%), “mempunyai pasukan penasihat yang cekap dan bagus” (1.5%), “pandai berucap di khalayak” (1.2%), dan “cekap” (1%).

Orang Melayu membentuk bilangan pengundi terbesar di Malaysia, dengan kira-kira 60% daripada keseluruhan undi, berbanding Cina (30%) dan India (10%).

"Kajian ini menunjukkan, pemimpin yang mahu tampil dan mempromosikan dirinya sebagai individu paling berkuasa perlu membuktikan mereka mempunyai kelayakan Islam dan kesedaran dan kepekaan tentang Islam," kata Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Center.

"Mereka tidak semestinya seorang ulama atau ustaz, cuma Islam ialah sesuatu yang sangat penting kepada identiti Melayu hari ini," katanya mengulas tinjauan yang ditaja The Malaysian Insider itu.

Beliau berkata, orang Melayu kini semakin sedar dengan identiti mereka sebagai orang Islam, susulan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam di Malaysia, dan mereka mahukan pemimpin yang menerapkan nilai yang sama seperti mereka.

"Mereka mahu tahu apa pendirian pemimpin mengenai hal berkaitan Islam seperti konflik Palestin, undang-undang Islam ... mereka mahu pemimpin yang sekurang-kurangnya boleh bercakap tentang al-Quran, yang boleh merujuk kepada isi kandungan kitab agama itu," kata Ibrahim.

Tetapi Ibrahim menafikan ini bermakna PAS, satu-satunya parti Islam di Malaysia, mempunyai lebih kelebihan, kerana orang Melayu juga mahukan seorang perdana menteri yang boleh membendung rasuah dan melayan setiap orang dengan adil.

Sementara itu, sebahagian besar kaum Cina (28.5%) yang ditemu ramah memilih “kemahiran ekonomi dan pengurusan” sebagai satu daripada dua kriteria utama dalam memilih seorang perdana menteri, diikuti dengan “pendirian tegas terhadap rasuah” (27.2%) dan “adil kepada semua kaum” (18.5%).

Orang India lebih mengutamakan seorang perdana menteri yang “adil kepada semua kaum” (38.2%) dan “rajin” (17.6%), menurut kajian tersebut.

Tanpa mengambil kira faktor kaum, responden yang tidak membuat keputusan sama ada untuk menyokong BN atau PR kebanyakannya memilih 'pendirian tegas dalam membendung rasuah sebagai satu daripada dua kriteria tertinggi mereka (21.5%), diikuti kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman (17.8%), kemahiran ekonomi dan pengurusan (17.3%) dan adil/saksama kepada semua kaum (17.3%).

Penyokong BN paling menekankan kepada kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman  (30.5%) dan pendirian tegas terhadap rasuah (22.3%), manakala penyokong PR memilih pendirian tegas terhadap rasuah (21.4%) dan kemahiran ekonomi dan pengurusan ( 22.6%).

Secara keseluruhannya, adil/saksama kepada semua kaum adalah kriteria yang paling popular bagi seorang perdana menteri di kalangan rakyat Malaysia, dengan 12% daripada responden memilihnya sebagai kriteria pertama mereka, dan 29% mengatakan ia adalah kriteria kedua mereka.

Kebolehupayaan dalam hal-hal keislaman merupakan pilihan kedua, dengan 22% memilihnya sebagai kriteria utama mereka dan 9% memilihnya sebagai kriteria kedua. Ketiga ialah berpendirian tegas terhadap rasuah, dengan kebanyakan rakyat Malaysia (23%) memilihnya sebagai kriteria yang pertama, dan 3% meletakkannya sebagai kedua paling penting.

Dalam Umno, pemimpin tertinggi seperti Najib, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sering menggambarkan diri mereka sebagai pembela Islam dan umat Islam, dalam satu keadaan yang semakin meminggirkan masyarakat bukan Melayu, yang kebanyakannya mengundi pembangkang pada pilihan raya umum 2013.

Najib menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri Islam sederhana di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa, dan berucap menentang keganasan yang diteruskan militan seperti Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

PR memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kerana beliau turut membawa imej Islam yang sederhana, dan sering menyelitkan ucapan beliau dengan ayat al-Quran dan kata-kata ulama Islam seperti Yusuf Al Qaradawi. Ketua pembangkang itu juga pernah  berkhidmat sebagai presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dari 1974-1982.

Tinjauan ini melibatkan 1,008 responden yang layak mengundi, ditemu bual melalui telefon dari 21-30 Januari dan dipilih secara rawak berstrata mengikut etnik, jantina, umur dan kawasan Parlimen.

Semua kawasan Parlimen mengambil bahagian dan pemilihan responden bersesuaian dengan bilangan penduduk. – 14 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.


Zack Ahmad's photo.Pada saya, bila membaca kriteria yang layak dan mempunyai latar belakang agama, tidak lain tidak bukan DS ANWAR IBRAHIM lah orangnya yang layak dilantik menjadi PM.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.