Dr Mujahid Yusof Rawa
 
Dr Mujahid Yusof Rawa
 
GEORGETOWN -  DAP tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang memburukkan imej dan martabat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, DAP tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat Isnin.


Beliau menyifatkan kenyataan DAP yang menempelak Abdul Hadi Awang sebagai satu tindakan yang menyedihkan kerana beliau diumpamakan bapa kepada semua ahli Pas.


"Kita akan bermesyuarat dan mengumumkan pendirian parti berhubung masa hadapan dalam pakatan pembangkang pada Isnin ini susulan tindakan DAP Sarawak  memutuskan hubungan dalam PR.


"Mesyuarat itu juga akan membincangkan sikap pimpinan DAP yang menentang Presiden Pas (Abdul Hadi)," katanya kepada media hari ini.


Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Abdul Hadi selepas mendakwa Presiden Pas itu tidak jujur dan tidak bermaruah.


Guan Eng berkata, DAP kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin PR kerana  bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.


Menurutnya, DAP juga akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi.


Mujahid berkata, tindakan DAP keluar dari PR Sarawak amat dikesali dan dilihat hanya memburukkan keadaan termasuk meretakkan hubungan antara kedua-dua pihak.


"Saya sedih dengan sikap DAP yang keluar dari pakatan di Sarawak dan ia tidak sepatutnya berlaku. Tindakan itu merosakkan objektif pakatan menjadi gabungan parti politik berbilang kaum.


"Keretakan hubungan Pas dan DAP menjadikan agenda kebersamaan pakatan untuk mempromosikan idea yang menolak kewujudan parti berasaskan kaum kini tergendala," katanya.


Semalam, DAP Sarawak mengumumkan keputusan keluar dari pakatan pembangkang negeri adalah muktamad dan berkuat-kuasa serta merta.


Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, ia dibuat sebagai bantahan ke atas kepemimpinan Pas yang mahu meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud di negara ini.