Followers

Monday, March 23, 2015

Pakatan Rakyat dijangka tidak akan berpecah


Pakatan Rakyat (PR) dijangka tidak akan berpecah sekalipun wujudnya ketidaksefahaman antara PAS, DAP dan PKR berhubung isu pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang diluluskan Khamis lalu.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata jangkaan tersebut dibuat berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan DAP berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, sekalipun pimpinan DAP tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh rakan komponen mereka itu, namun kenyataan yang dikeluarkan hanyalah bersifat spekulatif sahaja.

“Tidak ada sebarang petunjuk yang memperlihatkan PR akan menyisihkan PAS dalam pakatan berkenaan kerana DAP atau PKR tidak boleh mengeluarkan PAS dengan sewenang-wenangnya.

“Perpecahan PR hanya akan berlaku sekiranya PAS mengumumkan untuk keluar daripada PR ataupun tindakan yang sama dilakukan oleh DAP tetapi saya melihat ia tidak akan berlaku kerana mereka berkongsi visi yang sama dan lebih besar daripada hudud iaitu untuk menumbangkan Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai masa depan antara ketiga-tiga parti dalam PR yang dilihat mengalami keretakan selepas pindaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Tambah Samsul Adabi lagi, pimpinan PR dilihat telah berbincang mengenai perkara berkenaan dan mungkin ia adalah strategi mereka untuk memperlihatkan ketidaksefahaman itu di hadapan musuh politik mereka.

Jelasnya, secara realitinya perpecahan PR hanya akan merugikan ketiga-tiga parti berkenaan dan mewujudkan masalah terutamanya di peringkat Kerajaan Negeri Selangor.

“Sekiranya PAS yang memiliki 15 kerusi DUN keluar daripada PR, mungkin mereka akan bergabung dengan UMNO yang mana akan menjadikan jumlah kerusi keseluruhannya sebanyak 27 kerusi DUN dengan satu lagi kerusi bebas.

“DAP dan PKR hanya memiliki 28 kerusi DUN dan mungkin akan berlaku usaha untuk menarik wakil rakyat PKR untuk memihak kepada PAS dan UMNO bagi mendapatkan majoriti mudah.

“Oleh itu, perpecahan tersebut sebenarnya hanya akan merumitkan keadaan dan sukar sama sekali untuk berlaku dalam masa yang terdekat,” ujarnya.


 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.