Followers

Tuesday, March 17, 2015

Pakar undang-undang antarabangsa desak pembebasan Nurul Izzah, mansuh Akta Hasutan

 

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar melambai ke arah penyokong dan keluarganya ketika ditahan polis, semalam.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar melambai ke arah penyokong dan keluarganya ketika ditahan polis, semalam.

Kumpulan pakar undang-undang antarabangsa mengutuk Putrajaya kerana terus menggunakan Akta Hasutan 1948, dan berkata hari ini Malaysia perlu membebaskan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, sehari selepas beliau ditahan mengikut undang-undang warisan penjajah itu.

Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ), yang terdiri daripada 60 hakim dan peguam dari semua rantau dunia berkata, peruntukan yang rawak dan luas dalam Akta Hasutan tidak selaras dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu berhenti menggunakan kesalahan menghasut dengan menahan orang sewenang-wenangnya dan menyekat kebebasan bersuara,” kata Pengarah ICJ Asia Pasifik Sam Zarifi dalam satu kenyataan, malam tadi.

“ICJ juga menggesa kerajaan Malaysia membebaskan serta-merta Nurul Izzah dan mengulang amarannya supaya Akta Hasutan dimansuhkan,” katanya.

ICJ berkata Nurul Izzah akan direman pagi ini selepas bermalam di lokap dan berkata akan terus memantau kes Nurul Izzah.

Suruhanjaya itu berkata Akta Hasutan adalah “sekatan pelaksanaan kebebasan bersuara yang melampau dan tidak konsisten dengan asas kedaulatan undang-undang dan prinsip hak asasi manusia”.

Ia berkata terma “kecenderungan menghasut” yang disebut dalam akta itu “tidak ditafsirkan dengan jelas” bermaksud sebarang ucapan atau penerbitan yang menyebabkan kebencian atau menghina, atau mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah atau kerajaan atau menganjurkan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau pangkat.

Kenyataan itu berkata undang-undang perlu mempertimbangkan “hasutan” dalam mana-mana ucapan atau penerbitan yang mempersoalkan keistimewaan orang Melayu, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Tambahan pula, menghasut adalah kesalahan liabiliti ketat di Malaysia, yang bermakna niat seseorang dituduh membuat kenyataan menghasut tidak relevan.

“Sebagai contoh, seseorang membuat kenyataan mungkin tidak ada niat menyebabkan 'kebencian atau menghina' terhadap kerajaan, tetapi mungkin tetap dituduh menghasut jika pihak berkuasa percaya individu itu mengapi-apikan perasaan seumpama itu,” kata ICJ.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nurul Izzah juga ditahan dan disiasat mengikut Akta Hasutan berhubung himpunan #KitaLawan dan kenyataan beliau pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas yang turut menyentuh sistem kehakiman negara.

Himpunan #KitaLawan yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada 7 Mac bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan supaya membebaskan Anwar dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Ucapan Nurul Izzah di Parlimen minggu lalu juga mengkritik sistem kehakiman kerana tunduk kepada “tuan politik” berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap tuduhan liwat dikenakan kepada Anwar dan hukuman penjara 5 tahun.

Bekas Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah susulan ucapannya itu. – 17 Mac, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.