Followers

Friday, March 20, 2015

Orang Umno jadi ketua badan propaganda Kerajaan Pusat cetus kebimbangan ramai

Tugas baharu pemimpin Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai ketua badan propaganda Putrajaya bukan saja menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin pembangkang tetapi di kalangan pemimpin partinya.

Puad yang merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) bagi menggantikan Datuk Fuad Hassan yang meninggal dunia kerana serangan jantung Disember tahun lepas.

Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pelantikan Puad merupakan satu kejutan kepadanya memandangkan bekas timbalan menteri pendidikan itu masih memegang jawatan tertinggi parti.

"Saya tidak menyangka beliau sanggup melepaskan kedudukannya sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian Batu Pahat untuk mendapatkan kedudukan sebagai ketua pengarah Jasa sepertimana yang digariskan kerajaan," kata pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu kepada The Malaysian Insider.

Jasa merupakan agensi kerajaan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan di antara objektif penubuhannya adalah mengekalkan perpaduan dengan menangkis dakyah, fitnah serta ekstremisme agama di kalangan rakyat Malaysia.

Jasa sebelum ini dikritik ahli politik pembangkang sebagai membazirkan wang pembayar cukai untuk propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN). Apabila dihubungi, Puad memberitahu beliau sudah memulakan tugas sebagai ketua pengarah Jasa.

"Benar saya dilantik menjadi ketua pengarah Jasa baru, dan sudah mula masuk pejabat," kata bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu kepada The Malaysian Insider.

Apabila ditanya sebagai ketua pengarah Jasa, apakah beliau meletak jawatan sebagai MT Umno, Puad berkata tidak perlu dilakukan. "Saya tidak perlu meletakkan jawatan sebagai MT Umno, kerana ini hanya jawatan kontrak selama tempoh 2 tahun," katanya.

Puad merupakan antara pemimpin Umno yang terkenal dengan kenyataan berunsur perkauman dan dilihat bertentangan dengan objektif Jasa itu sendiri. Puad pernah mempertahankan Perkasa dengan mengatakan tidak adil menggelar kumpulan tersebut sebagai “rasis” kerana perkataan itu tidak wujud dalam budaya Melayu.

Bagaimanapun Nur Jazlan berkata, Puad pastinya tidak akan berdepan dengan masalah menggalas tugas baru memandangkan beliau seorang pemimpin berpengalaman dan dapat membezakan antara tanggungjawab dan pendirian politik.

“Saya menjangkakan beliau dapat menggalas tanggungjawabnya sebagai pegawai kerajaan demi kepentingan rakyat dan meninggalkan pendirian lamanya, " katanya.

Tetapi Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli percaya pelantikan Puad sebagai ketua pengarah Jasa akan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) akan lebih teruk diserang agensi kerajaan itu.

"Kebimbangan kita ialah reputasi Puad sebelum ini yang sering memainkan isu perkauman dan kini menjadi ketua pengarah Jasa, kita jangka lebih banyak serangan selepas ini, tapi Pakatan tetap bersedia," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu turut membidas tindakan kerajaan kerana sinonim dengan budaya melantik pemimpin Umno yang kalah dalam pilihan raya ke dalam jabatan kerajaan. "Puad ini sudah tidak diterima rakyat, beliau kalah di Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum lalu.

"Dan kini dilantik menjadi ketua pengarah Jasa, diletak jawatan dalam kerajaan bertujuan menghidupkan semula politik mereka walhal rakyat sudah menolak beliau," katanya.

Kebimbangan sama turut dikongsi pemimpin DAP apabila mempersoalkan apa akan terjadi kepada agensi kerajaan yang seharusnya berperanan menyampaikan komunikasi dan maklumat kepada rakyat sekiranya pemimpin mereka jelas bersikap perkauman.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, meskipun tidak terkejut dengan pelantikan itu, beliau kecewa kerana merasakan pelantikan Puad sebagai ketua pengarah Jasa bukan tindakan wajar.

"Satu pelantikan yang tidak wajar kerana Puad pernah mempertahankan Perkasa sebagai pertubuhan tidak rasis.

"Kita khuatir Jasa akan dipolitikkan dan akan digunakan utk memperkuatkan kuasa politik Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.