Followers

Thursday, March 19, 2015

Mustahil untuk percaya pada PAS lagi, kata Ambiga OLEH‎ LOOI SUE-CHERN


Datuk Ambiga Sreenevasan menganggap tindakan PAS membawa kembali rang undang-undang hudud ke Dewan Undangan Negeri merupakan satu pengkhianatan terhadap Pakatan Rakyat.

Datuk Ambiga Sreenevasan menganggap tindakan PAS membawa kembali rang undang-undang hudud ke Dewan Undangan Negeri merupakan satu pengkhianatan terhadap Pakatan Rakyat.

Pemimpin masyarakat sivil dan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata PAS mengkhianati amanah rakyat yang mengundi mereka melalui platform Pakatan Rakyat (PR), selepas parti Islam itu membentangkan rang undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi memperkenalkan hudud di negeri itu.

Katanya, beliau terkejut dan kecewa dengan PAS yang membawa kembali undang-undang kanun keseksaan Islam itu – satu langkah yang katanya melanggar polisi bersama PR dan satu pengkhianatan terhadap pengundi PAS berdasarkan platform bersama dengan sekutu DAP dan PKR.

"Selepas ini, hampir mustahil bagi mereka mendapatkan semula kepercayaan itu," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ambiga berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS perlu serius dalam meneliti keutamaan negeri tersebut, memandangkan negeri itu baru sahaja dilanda banjir terburuk dalam sejarah.

"Negeri ini dan penduduknya belum pun mula pulih daripada banjir dahsyat, dan ia tidak kelihatan seperti agenda utama bagi kerajaan negeri itu," katanya.

Ambiga yang merupakan bekas presiden Majlis Peguam dan bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 berkata, hudud juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

"Penggubal undang-undang negeri Kelantan tidak sepatutnya membentangkan rang undang-undang seperti itu di Dewan Undangan Negeri.

"Mereka berusaha meyakinkan orang bukan Islam yang hudud tidak akan dikenakan ke atas mereka tetapi melihat cara bagaimana mereka melanggar perjanjian bersama dan kenyataan dalam kertas Jakim yang didedahkan dalam media... sukar untuk berasa selesa dengan jaminan itu. "

Dilaporkan tahun lepas, kertas kerja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Syariah dan semua undang-undang perlu diharmonikan dengan prinsip-prinsip Islam.

"Tanpa mengira perkara ini, isu utama pada pandangan saya adalah Perlembagaan rang undang-undang ini," kata Ambiga.

Ambiga berkata beliau juga terkejut dengan pindaan itu, termasuklah hukuman mati kepada yang murtad, dan ia tidak boleh diterima kerana istilah seperti "kafir" akan digunakan.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata Kanun Keseksaan Islam tidak sepatutnya ditentang, dengan menambah mereka yang menggelarnya kejam dan tidak berperikemanusian dan membuat tuduhan liar.

Beliau juga berkata mereka yang mengkritik ialah orang yang tidak beriman dan hudud ialah jawapan kepada jenayah kerana ia ditentukan Allah.

"Manusia tidak mempunyai hak untuk menolak atau mengubah undang-undang Syariah yang ditetapkan dalam Islam.

"Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melaksanakannya kerana ia boleh menyelesaikan apa-apa jenis jenayah yang berlaku di negara ini.‎

"Melaksanakan undang-undang jenayah Syariah juga bukanlah mengenai memelihara kuasa politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak," kata Ahmad hari ini di Kota Baru.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.