Followers

Tuesday, March 3, 2015

Lima sebab Anwar wajib hadir ke Parlimen

 
Dua minggu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Sungai Buloh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan satu petisyen mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bagi memohon pengampunan diraja dari Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan yang dibuat pada saat-saat akhir itu telah mengejutkan ramai orang dan sekaligus mengundang pelbagai reaksi.

Tindakan Wan Azizah itu dilihat sebagai langkah yang sangat signifikan dan telah menyelamatkan Anwar dari dilucutkan hak sebagai ahli parlimen mengikut Perkara 44(4)c Perlembagaan Persekutuan.

Sekarang, kedudukannya sebagai anggota Dewan Rakyat akan hanya boleh dipertimbangkan semula selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan dan ini juga bermakna Parlimen tidak boleh mengistiharkan kekosongan mengikut Perkara 52 Perlembagaan.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Justeru, buat sementara ini  tidak timbul soal pembabitan Suruhanjaya Pilihran Raya untuk mengadakan pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Perkembangan terbaru ini juga membawa maksud bahawa Anwar masih kekal sebagai ahli parlimen Permatang Pauh. Ironinya, Yang Berhormat ini kini dipenjara dan sebagai seorang banduan sudah tentulah beliau tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Masih menjadi tanda tanya sama ada Anwar akan dibenar hadir pada pembukaan penggal Parlimen akan datang yang dijadual bermula 9 Mac ini walaupun permintaan untuknya telah di majukan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Apapun keputusannya nanti, ini merupakan satu kes ujian sama ada seseoarang ahli parlimen yang dipenjara tetapi sedang menunggu keputusan rayuan pengampunan, boleh dibenarkan menghadiri sesi Dewan Rakyat.

Namun, ramai yang berpendapat Anwar wajib dibenarkan hadir. Dan ada lima sebab besar untuk itu.

1) Anwar seorang wakil rakyat sah yang dipilih rakyat.

Dalam pilihan raya umum ke 13 lepas, Anwar menang besar dengan meraih 37,090 undi menewaskan pencabar terdekatnya dari BN dengan majoriti 11,721 undi. Pengundi Permatang Pauh telah membuat pilihan yang jelas bagi mendapatkan khidmat Anwar sebagai wakil mereka di Parlimen.

Dan adalah sangat tidak wajar jika hak pengundi-pengundi ini dinafikan. Sekalipun Anwar mesti dihukum, hukuman itu harus berhenti setakat Anwar dan tidak harus membabitkan pengundi yang tidak bersalah.

Biarpun beliau kini seorang banduan, Anwar masih seorang Ahli Parlimen.

Justeru, setidak-tidaknya benarkanlah beliau hadir ke Parlimen untuk menjalankan tanggungjawabnya dan selepas beliau boleh dihantar semula kepenjara.

2) Tiada pengumuman kekosongan


Tiada pengumuman kekosongan dibuat mengenai kerusi Permatang Pauh mengikut Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan kerana Anwar tidak hilang kelayakkan sebagai Ahli Parlimen.

Secara tidak langsung, ini mengesahkan Anwar masih ahli parlimen dan oleh itu berhak hadir semasa parlimen bersidang.

3) Anwar perlu jalan tugas ketua pembangkang

Anwar bukan sahaja seorang ahli parlimen, dia juga adalah Ketua Pembangkang, satu jawatan yang diiktiraf sebagai sebahagian dari struktur parlimen yang berasaskan sistem Westminster yang diamalkan di Malaysia.

Ketua Pembangkang berperanan dalam menentukan semak dan imbang dan sebagai simbol kepada amalan demokrasi berparlimen. Jadi, menyekat Anwar dari hadir samalah seperti mencacatkan struktur parlimen.

4) Tiada peruntukkan yang menidakkan

Sementara menunggu keputusan dari Lembaga Pengampunan, kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen adalah tidak terjejas.

Justeru, berdasarkan keadaan ini dan tiadanya peruntukkan undang-undang yang melarang, tiada sebab mengapa Anwar harus disekat dari menghadiri sidang Parlimen.

KDN harus menimbang perkara ini dengan adil dan saksama kerana ini satu peluang untuk membuktikan bahawa setidak-tidaknya dalam kes Anwar, kerajaan bertindak secara professional dan mengikut prosedur tanpa mengira latarbelakang politik.

Lantaran itu, KDN boleh meminta ketua pengarah penjara untuk menggunapakai Seksyen 31(1)a Akta Penjara 1995, untuk memberi pelepasan kepada Anwar hadir ke Parlimen.

Jika menteri dalam negeri serius dalam hal ini dan tidak ada halangan untuk Anwar hadir, hal ini sudah tentu dapat diuruskan dengan pantas.

5) Kerana kemahuan rakyat

Biarpun telah dikenakan hukuman penjara, Anwar masih punya sokongan dan pengikut yang ramai di merata-rata termasuk dari pemimpin dan kerajaan asing.

Tidak kurang juga yang merasa simpati dengan apa yang dialaminya dan mengharapkan Anwar segera dibebaskan.

Rakyat masih mahukan Anwar. Jadi berilah peluang baginya untuk menjalankan tanggungjawabnya kerana kita tidak akan rugi apa-apa dengan membenarkannya.

ABDULLAH AHMAD, 60, pesara swasta yang gemar mengikuti perkembangan politik semasa negara.
 



Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.