Followers

Sunday, March 1, 2015

Kumpulan ‘Kita Lawan’ tolak cadangan berhimpun di stadium OLEH MUZLIZA MUSTAFA DAN LOW HAN SHAUN




Kumpulan #KitaLawan hari ini menolak syarat supaya mengadakan perhimpunan 7 Mac mereka di stadium. – 

Kumpulan #KitaLawan hari ini menolak syarat supaya mengadakan perhimpunan 7 Mac mereka di stadium. – Gambar dari Seth Akmal, 28 Februari, 2015.

Kumpulan #KitaLawan anjuran Pemuda PKR hari ini menolak syarat yang dikenakan pihak polis supaya mengadakan perhimpunan 7 Mac mereka di stadium.

Sebaliknya, mereka berkeras meneruskan rancangan mereka berhimpun di hadapan pusat membeli belah Sogo di tengah bandaraya Kuala Lumpur, dalam satu protes yang bertujuan menyatakan sokongan terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara.

"Kami putuskan tiada tempat alternatif lain. Perhimpunan itu akan diadakan pada 7 Mac di hadapan pusat beli belah Sogo jam 4 petang," kata Mandeep Singh, salah seorang ahli jawatankuasa #KitaLawan pada satu sidang media hari ini.

"Kami masih akan meminta bantuan pihak polis dari segi keselamatan dan lalu lintas," kata Mandeep selepas mesyuarat kumpulan itu membincangkan perkara tersebut di Bangunan Pertubuhan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur.




"Kami akan bersedia dengan pasukan perubatan, dan juga peguam, sepertimana ketika perhimpunan sebelum ini."

Mandeep berkata kumpulan itu merasakan Sogo, yang dekat dengan kemudahan pengangkutan awam, merupakan tempat paling mudah untuk orang ramai berkumpul.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang turut hadir berkata, polis tidak harus menjadikan tempat di mana rakyat memilih untuk berkumpul itu sebagai satu isu.

"Rakyat mempunyai hak untuk berhimpun, bukan polis yang harus buat keputusan di mana kita patut berkumpul. Tugas polis ialah memastikan perhimpunan tersebut berjalan lancar dan orang ramai berada dalam keadaan selamat," kata pemimpin PKR itu.

Semalam, polis memberitahu Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mereka akan membenarkan demonstrasi seterusnya pada Sabtu ini diteruskan, dengan syarat ia diadakan di stadium.

Sebelum itu, Nik Nazmi bertemu polis Kuala Lumpur di balai Dang Wangi bagi membincangkan rancangan mereka mengadakan perhimpunan.




Beliau memberitahu pemberita semalam, jawatankuasa penganjur #KitaLawan akan bermesyuarat bagi membincangkan cadangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau juga berkata tidak timbul isu mengenai permit polis kerana ia tidak dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kumpulan #KitaLawan setakat ini mengadakan tiga perhimpunan di hadapan pusat membeli-belah Sogo, bertujuan mendesak pembebasan Anwar. – 28 Februari, 2015.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.