Muhammad Izzuddin (kiri) bersama Muhammad Danish menunggu jenazah Rosniza di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
Alor Setar: “Kami mahu keadilan dan meminta pihak berkuasa mengheret suspek ke muka pengadilan. Tindakan dia melampau kerana pernah mengugut mahu mengikat sekali gus menjerut leher arwah dua minggu lalu.
“Mujur bapa saya yang tinggal bersebelahan rumah arwah terdengar pergaduhan mangsa dengan bekas suaminya. Kalau tidak, kami tidak tahu nasib arwah ketika itu.”
Begitu kata Rosliza Fadzil, 35, kakak sulung kepada Rosnizal, 30, yang disahkan meninggal dunia selepas lima hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, jam 4 petang, semalam.
Sebelum ini, mangsa tidak sedarkan diri selain patah kaki kanan parah di kepala selepas dipercayai dilanggar kenderaan lain sebaik melompat keluar dari kereta dipercayai dipandu bekas suaminya dalam kejadian di Bukit Pinang, Pokok Sena, di sini, Khamis lalu.
Menurut Rosliza, suspek sering mengganggu adiknya yang juga tukang masak sehingga pernah menjerut Rosniza menggunakan tali di leher walaupun mereka sudah bercerai hujung tahun lalu.
“Suspek sangat ‘psiko’ kerana pernah mengugut mangsa ‘kalau aku tak dapat hang, orang lain pun tak boleh dapat hang’. Adik saya tiga kali bercerai dengan bekas suaminya kerana suspek kaki pukul, namun suspek masih menganggap arwah isterinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSB, di sini, semalam.
Menurutnya, arwah mempunyai dua anak, Muhammad Izzuddin Rosnizam, 11, dan Muhammad Danish Rohdi, 5, yang tinggal bersamanya.
“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas suspek dengan memberikan hukuman setimpal terhadapnya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan mangsa meninggal dunia, semalam, akibat parah selepas dimasukkan ke HSB sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, pihaknya kini melakukan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini.
Posted by Jeebond BLM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.