Followers

Wednesday, March 18, 2015

Jangan kritik speaker, kata Pandikar Amin

 
 
 
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengingatkan ahli Parlimen supaya tidak 'menghentam' atau mengkritiknya di dalam, mahupun di luar Parlimen.

Beliau berkata tindakan itu boleh merendahkan pandangan dan kepercayaan rakyat terhadap kedudukan jawatan berkenaan.

Pandikar Amin berkata sebagai seorang Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau tidak mempunyai sebarang agenda politik, sebaliknya bertanggungjawab untuk menjaga integriti Parlimen sebagai dewan yang mulia.

"(Anggota) pembangkang dan kerajaan masing-masing mempunyai agenda politik tetapi saya tidak ada agenda politik kerana kedudukan saya adalah jelas sebagai seorang Speaker. Kalau saya juga diheret sama dengan semua agenda politik ini, apa akan jadi kepada Parlimen?

"Kalau wakil rakyat faham dengan tugas masing-masing, mereka tidak bangkitkan isu yang semata-mata agenda politik, mereka akan bertugas sebagai ahli Parlimen dan soal politik mereka tinggal di pintu masuk dewan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi Parlimen Iran di kediaman rasminya di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli Parlimen yang mengkritik dan mempertikai keputusan Speaker menolak sesuatu usul di Dewan Rakyat.

Sementara itu, ditanya mengenai kunjungan hormat delegasi Parlimen Iran yang diketuai anggota Parlimennya Mohammad Mehdi Zahedi, beliau berkata ia dalam usaha meningkatkan hubungan antara Parlimen kedua-dua negara.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.