Afdlin Shauki yang ditemui selepas pengebumian jenazah rakan karibnya itu berkata dia tidak menyangka gurauannya dengan arwah pada minggu lepas menjadi kenyataan. - Foto TRP/Adib Hakim
Pelakon dan juga pengarah, Afdlin Shauki tidak menyangka gurauannya bersama Allahyarham Harun Salim Bachik menjadi kenyataan.
Afdlin yang ditemui selepas pengebumian jenazah rakan karibnya itu berkata dia tidak menyangka gurauannya dengan arwah pada minggu lepas menjadi kenyataan.
“Pada pertemuan kali terakhir pada minggu lepas, arwah memakai jubah dan saya sengaja mengusiknya nampak bercahaya.
“Saya cakaplah ‘dah nampak tanda-tanda cahaya ni’ tetapi dia ketawa sahaja,” katanya sambil menambah itu kali terakhir dia bergurau dengan arwah.
Menurutnya, dia sangat terkejut dengan berita pemergian itu kerana terlalu banyak projek yang dibincangkan antara mereka untuk diusahakan bersama.
“Saya memang suka bekerja dengan dia kerana dia banyak idea dan seorang yang genius, arwah seorang yang sangat pandai membuat lawak tanpa disediakan sebarang skrip.
“Arwah bertahan dalam industri seni sebagai pelawak sudah tiga dekad, ia suatu tempoh yang amat lama dan menunjukkan lawak dia sentiasa relevan. Lawaknya bukan sahaja untuk menghiburkan orang tetapi turut menyelitkan pengajaran supaya menjadi pedoman kepada semua orang,” ujarnya.
Afdlin berkata, kerana bakat yang dimiliki arwah itu membuatkan kumpulan Boboi dalam Raja Lawak mempunyai peminatnya yang tersendiri.
“Arwah ini seperti penyeri sesuatu projek. Jika ada dia, pasti projek yang suram pun akan menjadi ceria kerana arwah memiliki banyak idea untuk menghiburkan orang,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berharap, semua pihak memaafkan kesalahan arwah sekiranya arwah pernah melakukan kesalahan dan menyinggung hati mana-mana pihak.
- therakyatpost
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.