Berada sendirian di dalam kokpit pesawat penerbangan 4U9525 Germanwings, pembantu juruterbang Andreas Lubitz secara manual memulakan prosedur terbang menurun dan tidak memberi respons ketika juruterbang dan krew merempuh pintu yang dikunci sehingga pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan di Perancis.
Itu adalah penemuan yang diumumkan semalam oleh pendakwa Marseilles, Brice Robin, yang ditugaskan menyiasat kes membunuh diri selepas penerbangan yang membawa 150 orang itu terhempas ketika dalam perjalanan ke Dusseldorf dari Barcelona.
Menggelarkannya sebagai "peristiwa yang paling dahsyat" dalam sejarah penerbangan Lufthansa, pengerusi syarikat induk Germanwings, Carsten Spohr berkata syarikat itu "terkedu" dengan apa yang berlaku itu.
Robin berkata siasatan berubah apabila ia jelas menunjukkan bahawa nahas itu adalah akibat tindakan Lubitz untuk menghempaskan pesawat itu.
Bernafas seperti biasa, Lubitz tidak memberi respons ketika ketukan pada pintu kokpit yang dikunci itu semakin kuat, penggera kecemasan mula berbunyi apabila pesawat itu hampir terhempas. Dia juga berdiam diri walaupun pelbagai percubaan dari pengawal trafik udara untuk mendapatkan maklumat.
Kemungkinan juruterbang keluar dari kokpit untuk ke tandas apabila pintunya dikunci secara automatik, kata Robin. Orang di dalam kokpit perlu menekan butang untuk membuka semula pintu itu.
Lubitz juga mungkin telah menekan butang untuk mengunci pintu ketika juruterbang cuba masuk semula ke kokpit, kata Spohr.
Pesawat itu mempunyai dua kod akses di pintu kokpit, satu yang biasa dan satu lagi kod langkau untuk membolehkan krew masuk dari luar sekiranya tiada respons dari dalam kokpit. Tetapi kod langkau itu boleh disekat dari dalam kokpit.
Menurut fail audio selama10 minit pesaat itu menurun, seolah-olah kebanyakan penumpang tidak menyedari bahawa ada sesuatu berlaku sehingga sejurus sebelum pesawat itu terhempas, apabila ketukan pada pintu semakain kuat dan terdengar bunyi jeritan dari dalam kabin.
Tidak ada tanda-tanda bahawa nahas itu akibat serangan pengganas, kata Robin, sambil menambah bahawa tindakan itu seolah-olah perbuatan membunuh diri tetapi tidak boleh disifatkan sebagai membunuh diri apabila membabitkan begitu ramai mangsa lain.
Namun, motif Lubitz masih tidak jelas. Terdahulu, pihak berkuasa Jerman mengesahkan kepada dpa bahawa Lubitz berasal dari Montabaur di Rheinland-Pfalz, berhampiran Frankfurt, dan pihak berkuasa bandaraya Dusseldorf mengesahkan Lubitz berusia 27 tahun, dan bukannya 28 tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Lubitz mula bertugas dengan Germanwings pada bulan September 2013 dan mempunyai 630 jam pengalaman penerbangan.
Pihak berkuasa Jerman menjalankan pemeriksaan latar belakang Lubitz dan tidak menjumpai apa-apa yang luar biasa, kata Menteri Dalam Negeri Thomas de Maizière.
Rumah Lubitz di Dusseldorf telah diperiksa dalam usaha pihak berkuasa mencari petunjuk terhadap motif nahas tersebut.
De Maizière berkata rekod perisikan, pangkalan data polis kebangsaan dan rekod Lufthansa sendiri telah disemak sejurus selepas kemalangan itu, tetapi tidak ada maklumat penting ditemui.
"Kami memeriksa seluruh anak kapal dan penumpang untuk tanda-tanda keganasan atau sebarang kebimbangan keselamatan yang lain, dan hasilnya adalah negatif," katanya.
Keluarga Lubitz dan keluarga juruterbang telah berlepas ke Perancis dan telah dimaklumkan mengenai penemuan pendakwa itu. Keluarga mangsa, yang kebanyakannya berkumpul pada sebelah petang di satu tempat berdekatan lokasi kemalangan itu, juga telah dimaklumkan mengenainya.
Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy, pemimpin kedua-dua negara mangsa nahas itu, berkata mereka terkejut dengan apa yang telah berlaku.
"Saya amat terkejut dengan berita tersebut," kata Merkel, sambil menambah bahawa tidak ada penjelasan untuk tragedi itu. "Ia melampaui apa-apa saya dapat bayangkan."
Banyak penemuan datangnya dari fsalah satu daripada dua kotak hitam pesawat, yang mengandungi perakam suara. Ia ditemui di lokasi kemalangan, di mana serpihan pesawat itu bertaburan meliputi kawasan empat hektar di pergunungan terpencil di selatan Perancis itu.
Pihak berkuasa masih mencari kotak hitam kedua yang mengandungi perakam data penerbangan. Presiden Perancis Francois Hollande berkata selongsong yang rosak teruk yang ditemui pada hari Rabu tidak mengandungi peranti itu.
"Kerja-kerja mencari amat sukar, kawasan itu berbahaya, ia sangat curam dan licin," kata ketua pasukan penyelamat gunung, Olivier Cousin, kepada dpa.
Pegawai dari Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat menawarkan bantuan agensi itu kepada penyiasat Eropah untuk mengumpulkan maklumat mengenai kemalangan itu.
Penyiasat dari Perancis, Jerman dan pasukan polis Interpol antarabangsa sudah berada di kawasan kemalangan itu.
- dpa
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.