Followers

Tuesday, March 3, 2015

BUDAK-BUDAK PULA SEKOLAHKAN HAJI RAZMAN DAN DR ZUHDI.

Sambungan dari N3 kelmarin...(Yang belum baca boleh akses di sini).

KENYATAAN YANG DIPERTIKAI

Berikut kenyataan dari anak muda PAS yang sudah tersebar luas di dunia siber. Anak muda itu ialah Pengarah Pendidikan Politik, Dewan Pemuda PAS Pusat. Isinya amat bagus. Haji Razman dan Dr Zuhdi patut baca. Yong perturunkan di sini buat pengunjung yang tiada Facebook.

KENYATAAN MEDIA

Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia berbeza pandangan dengan Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, dan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria, di dalam isu seruan kepada ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti supaya keluar parti untuk menyelesaikan konflik dalaman parti.

Seruan meminta ahli-ahli PAS keluar parti adalah suatu tindakan yang tidak bijak, apatah lagi jika ia dibuat oleh pemimpin tinggi parti. 
 
Seruan ini tidak selari dengan prinsip demokrasi di dalam parti di samping bercanggah dengan perlembagaan parti dan sangat bertentangan dengan usaha para pemimpin terdahulu yang bekerja dengan penuh jerih mengajak rakyat Malaysia menyertai PAS.

Selaku sebuah parti yang memperjuangkan hak asasi rakyat, di dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat, kita di dalam PAS sepatutnya menghormati hak asasi ahli PAS untuk kekal menjadi ahli PAS, apa lagi hak untuk memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti, di samping hak untuk memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

Fasal 15(1) Perlembagaan PAS menyebut “keberhentian ahli ialah disebabkan (a) permintaan sendiri (b) dipecat (c) mengisytihar diri keluar PAS atau menyertai parti politik lain.” Peruntukan di bawah Fasal 15(1)(a) dan (c) jelas menyentuh hak asasi ahli yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima oleh pemimpin tertinggi parti sekalipun, kerana ia membabitkan kerelaan ahli.

Sebaliknya, jika mana-mana pihak merasakan bahawa kewujudan ahli-ahli tertentu parti menimbulkan kemudaratan, apa yang boleh mereka lakukan ialah bukan membuat seruan terbuka tetapi mengemukakan cadangan bertulis kepada Setiausaha Agung bagi dipertimbangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS supaya ahli-ahli tersebut dipecat dari parti.

Asal saja bukti ada; selaras Fasal 15(3)(a) Perlembagaan PAS yang menyebut “pemecatan seseorang ahli itu bolehlah dilakukan apabila terbukti ianya telah melanggar Perlembagaan PAS, Aturan dan Peraturan serta arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti, atau telah melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan kepentingan parti atau menyalahi tatatertib parti”.

Sedarkah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman apakah yang akan berlaku jika seruan mereka supaya ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti keluar parti disahut oleh ahli-ahli tersebut? 
 
Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman berapakah bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif pada masa ini?

Jika Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman melihat semula Laporan Tahunan PAS Sesi 2013/2014 yang dibentangkan di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 di Batu Pahat, pada September lalu, mereka patut tahu bahawa bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif hanyalah sebanyak 763,849 dan 6,894 sahaja.

Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman betapa susahnya para pemimpin terdahulu bekerja untuk mengumpul ahli hingga menjadi seramai ini? 
 
Di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 di Taman Melewar pada Jun 1991, Almarhum Datuk Fadzil Noor telah mensasarkan untuk mendapatkan 180,000 ahli baru bagi mencukupkan ahli PAS menjadi 500,000 pada tahun 1995.

Tetapi berapa orang sahajakah ahli yang mampu ditambah oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Dr Daeng Sanusi Mariok di dalam tempoh empat tahun ini? Hanya 48.5% dari jumlah yang disasarkan sahaja, iaitu 87,328 orang, dengan 21,123 orang pada sesi 1991/1992, 17,550 orang pada sesi 1992/1993, 21,547 orang pada sesi 1993/1994 dan 27,108 orang pada sesi 1994/1995.

Bayangkanlah betapa gembiranya Almarhum Datuk Fadzil di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila mengumumkan di dalam ucapan dasar beliau bahawa, hasil dari gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu, “Alhamdulillah rancangan kita telah pun berjaya. Hari ini bilangan ahli PAS telah melebihi setengah juta.” 
 
Jelas Almarhum Datuk Fadzil, “Saya cukup terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini”.

Dengan bangganya Almarhum Datuk Fadzil menyebut, “Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan bahawa PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama dari golongan profesional. 
 
Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional? Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?”

Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila ahli-ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat keluar dari parti pula. 
 
Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka bahawa Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah kita gagal dalam melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli-ahli parti.

Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan semua pemimpin PAS bahawa sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada ahli-ahli kita. 
 
Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti adalah berlawanan dengan matlamat kita berpolitik, iaitu untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai redha Ilahi. 
 
Meruntuhkan apa yang telah dibina dengan bersusah-payah oleh para pemimpin terdahulu bukanlah kerja yang susah, tetapi membinanya semula sudah tentu akan memakan masa.

Dengan penuh hormat, saya berharap agar gesaan sedemikian tidak berulang lagi.

MOHD HASBIE MUDA
Pengarah Pendidikan Politik Facebook Hasbie Muda

Di bawah ini pula petikan kenyataan Pemuda PAS Kota Bharu. Isinya berbeza. Yang ini, selain Haji Razman dan Dr Zuhdi, Nik Abduh pun patut baca supaya lain kali berfikir sebelum bercakap.

Apa dikecoh gesa presiden PAS undur?

Pemuda PAS Kota Bharu ingin melahirkan rasa dukacita ke atas kemelut yang berlaku di dalam PAS menjelang pemilihan kepimpinan parti Jun ini.

Cara kita menangani kritikan memperlihatkan seolah-olah PAS adalah sebuah parti yang tertutup, mana-mana ahli yang menegur pimpinan dianggap telah melakukan kesalahan.

Jika ada ahli yang menyarankan mana-mana pimpinan parti mengundurkan diri maka ahli ini dikatakan telah melakukan dosa besar, tidak wala' kepada pimpinan.

Dalam soal ini, Pemuda PAS Kota Bharu ingin mengimbau kembali tindakan yang telah dibuat oleh almarhum Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz (kiri), ketika PAS berkemelut pada tahun 1982 dahulu.

Dalam laporan bertajuk "Nik Aziz akui krisis dengan Asri: Masalah dalam pilihan raya umum lalu", Tuan Guru Nik Aziz mempertikaikan tindakan Datuk Asri melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon PAS Kelantan dan cara pemilihan calon PAS dalam pilihan raya umum 1982.

Tuan Guru Nik Aziz secara terbuka mengkritik presiden PAS pada waktu itu, Datuk Asri, dalam akhbar Berita Harian pada 6 Julai 1982.

Kata Tuan Guru Nik Aziz, sepatutnya beliau yang menjadi pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik mengetuai jawatankuasa tersebut, bukan Datuk Asri.

Beliau malah menyebut dalam laporan tersebut betapa beliau telah diperalatkan oleh Datuk Asri. Apa tindakan Datuk Asri terhadap Tuan Guru Datuk Nik Aziz pada waktu itu?

Tiada apa tindakan pun. Begitulah terbukanya PAS pada waktu itu.


Dalam tahun 90an, agaknya Haji Razman dan Dr Zuhdi masing-masing sibuk membina kerjaya.  Dalam tahun 80an mungkin masih belajar. Mohd Hasbie Muda dan Pemuda PAS Kota Bharu pula tentu masih sangat budak dan tak tahu apa-apa. 

Tetapi hari ini budak-budak itu mampu buat kajian dan analisis.

Haji Razman dan Dr Zuhdi tak tahu buat apa, sebab sepertinya mereka jahil tentang sejarah PAS. 

Tak mengapalah. Budak-budak tu dah sekolahkan keduanya dan sesiapa saja yang bersama mereka berdua dalam isu berbangkit mengenai pemilihan dalam Muktamar 2015 ini.

Ini pula kenyataan Nik Abduh berkaitan dengan isu yang sama:

SIAPAKAH PARASIT YANG FASIK ITU?

Beranikah Nik Abduh mempertikai ayahandanya sendiri yang pernah menentang Dr Asri?
Nak sekolah dengan budak-budak tentu segan. Oleh itu, amat sesuai kalau Hj Razman, Dr Zuhdi dan Nik Abduh sekolah dengan Dr Dzulkifly Ahmad.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.