Seorang wanita hari ini mendakwa sebuah pusat jagaan kanak-kanak di
Austin Perdana di Johor Baharu gagal menjalankan prosedur kecemasan yang
sewajarnya hingga menyebabkan anak lelakinya meninggal dunia akibat
tercekik makanan ketika dalam jagaan pusat itu.
Ong Kai Yun, 32, berkata Kee Shao Ming, 7, meninggal dunia di Hospital
Sultan Ismail (HSI) di Johor Baharu, Jumaat lepas selepas muntah dan
pengsan di pusat jagaan itu.
"Saya menerima panggilan telefon pada kira-kira 8 pagi daripada petugas
pusat jagaan itu yang memberitahu anak saya muntah dan pengsan.
Petugas itu kemudian menghantar anak saya ke HSI.
"Selepas 12 jam dirawat, pada kira-kira 8 malam doktor mengesahkan anak
saya meninggal dunia akibat tercekik cekodok pisang, sarapan yang saya
bekalkan kepada anak saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di
Taman Setia Indah di Johor Baharu, hari ini.
Ong berkata beliau amat kecewa dengan sikap petugas pusat jagaan itu
yang tidak memaklumkan kepada pihak hospital mengenai keadaan anaknya
ketika makan sebelum kejadian itu berlaku.
Ong dan suaminya, Kee Yong Wen, 43, juga hanya mengetahui anak mereka
tercekik cekodok pisang setelah dimaklumkan pihak hospital.
"Petugas itu sepatutnya terus memberitahu pihak hospital bahawa anak
kami sedang makan semasa kejadian berlaku, dan tidak cuai tentang
perkara ini," katanya.
Sehubungan itu, Ong membuat satu laporan polis di Balai Polis Setia
Indah di Johor Baharu kelmarin dan berharap mendapat penjelasan daripada
pihak pusat jagaan mengenai prosedur keselamatan mereka, yang
didakwanya sebagai longgar.
Menurutnya beliau menghantar anak lelakinya dan seorang lagi anak
perempuannya berusia 8 tahun ke pusat jagaan itu sejak Disember lepas.
Kedua-dua anaknya hanya berada di pusat jagaan berkenaan pada sebelah
pagi sebelum bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew
5 pada sebelah petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman
Salleh berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.