SHAH ALAM : Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) Selangor
disaran menyemak semula keputusan tidak menamakan calon Ketua
Pembangkang baharu pada persidangan DUN yang bermula hari ini.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, ini disebabkan selepas DUN
melakukan pindaan peratuan tetap pada November tahun lalu, Pengerusi
Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan (PAC) Selangor dan Ketua Pembangkang
harus diisi oleh BN.
Menurut beliau, walaupun kepimpinan BN Selangor memutuskan untuk
memilih Mat Nadzari Ahmad Dahlan iaitu ADUN Batang Kali sebagai
Penyelaras ADUN BN, jawatan tersebut tidak diiktiraf oleh DUN Selangor.
“Selepas Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan,
saya telah menulis dua surat kepada kepimpinan BN Selangor untuk
menamakan Ketua Pembangkang yang baru dan mereka membalas secara rasmi
yang mengatakan mereka tidak berhasrat untuk melantik seorang Ketua
Pembangkang tetapi mereka mempunyai seorang penyelaras.
“DUN tidak mengiktiraf jawatan penyelaras dan hanya jawatan Ketua
Pembangkang sahaja yang diiktiraf,” katanya kepada pemberita selepas
Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-3 Dewan Negeri Selangor yang
ke-13 tahun 2015 di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Hannah menggesa supaya BN menamakan Ketua
Pembangkang dengan secepat mungkin agar DUN Selangor mempunyai semak dan
imbang
Hannah turut ditanya siapakah penyelaras yang dilantik oleh BN
Selangor dan beliau berkata “penyelaras itu (ADUN) Batang Kali (Mat
Nadzari Ahmad Dahlan), tapi jawatan itu tidak diiktiraf”,” katanya.
Hannah turut ditanya adakah BN akan dikenakan tindakan kerana tidak
melantik Ketua Pembangkang dan beliau menyatakan BN tidak ada tindakan
dikenakan.
“Kita melihat jika tidak ada Ketua Pembangkang, mereka tidak bersedia untuk menjadi kerajaan sekali lagi. Semudah itu.
“Selagi kerusi itu tidak diisi oleh BN, maka selagi itulah mereka belum bersedia untuk menjadi kerajaan lagi,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.