Followers

Saturday, February 28, 2015

Zuhdi - Gerakan Jatuhkan Hadi Sudah Bermula Sejak Tahun 1998



Gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh kumpulan tertentu dalam parti itu dikesan bermula sejak 1998, kata Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Beliau berkata pada 1998, PAS menjadi begitu terbuka menyebabkan kemasukan banyak kumpulan dari luar dan kumpulan berkenaan membentuk pasukan dalam PAS.

"Sebelum itu (1998) budaya 'team' tidak ada dalam PAS tetapi ia muncul selepas itu (1998) dan sekarang ini ia menjadi semakin membarah," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Wacana Ilmiah: PAS: Semalam, Hari Ini dan Esok di Pengkalan Chepa, malam tadi.

Ditanya tindakan PAS bagi menyelesaikan isu tersebut, Zuhdi berpendapat kumpulan berkenaan (tidak menyebut nama kumpulan atau mereka yang terlibat) akhirnya akan keluar daripada PAS untuk membentuk parti baharu.
 

"Saya yakin selepas Muktamar PAS 2015 ini akan berlaku dalam PAS iaitu ada dua kumpulan dengan satu daripadanya berpecah daripada PAS dan tubuh parti baharu, itulah penyelesaian yang akan menyebabkan PAS kembali kepada suasana harmoni," katanya.

Mengenai cabaran lain yang sedang dihadapi PAS, beliau berkata PAS sekarang sedang berdepan dengan wajah sebenar DAP, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, terutama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"Kita (PAS) perlu hadapi cabaran itu dengan jiwa besar iaitu kita masih melihat ada ruang untuk perkukuhkan hubungan dengan DAP dan PKR tetapi dengan harapan DAP dan PKR faham susur galur pembentukan masyarakat dan negara Malaysia," katanya.

– Bernama,

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.