Followers

Monday, February 2, 2015

Tatkala Harga Minyak Turun Kenapa Harga Barang Tak Turun?

 
Penurunan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan semalam, sudah tentu menggembirakan pengguna, namun harga itu tidak disusuli kesannya daripada segi harga barangan dan caj perkhidmatan.

Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia menyatakan kemusykilan tersebut, tatkala harga makanan, minuman, tambang bas, teksi serta lain-lain, yang mudah melonjak biarpun dengan sedikit kenaikan harga minyak, tidak pula turun.

“Tiada siapa menjangka sebelum ini, harga minyak (yang kini ditentukan secara kaedah pengapungan terkawal), akan mengalami penurunan yang banyak.

“Contohnya, RON95 daripada harga RM2.26 sen pada 1 Disember lalu, kini berharga RM1.70 sen. Takkanlah tiada ruang bagi pengusaha, pengeluar, pasar raya mahupun peniaga atau penjaja menurunkan sedikit harga barang,” katanya.

Tegasnya, kesemua pengusaha ghairah meraih margin keuntungan besar, tanpa memikirkan kepentingan pengguna.

Malah, persatuan-persatuan pengguna turut diam membisu.

“Teh-teh tarik kegemaran rakyat Malaysia pun tidak turun harga. Persatuan-persatuan pengguna pula berdiam, entah kenapa.

“Inilah realitinya di Malaysia – naik senang, turun tak mungkin,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan harga bahan bakar baru yang berkuat kuasa hari ini.

RON95 kini berharga RM1.70 seliter, turun 21 sen daripada RM1.91 sen yang diperkenalkan bulan lalu.

Sementara itu, RON97 pula berharga RM2 seliter, turun 11 sen daripada RM2.11, manakala harga diesel pula RM1.70, turun 23 sen daripada RM1.93.

November lalu, harga RON97 dikurangkan sebanyak 20 sen, menjadikan harga pasaran waktu itu RM2.55 sen seliter, berbanding RM2.75 sebelumnya.

Bermula awal tahun ini, harga runcit RON95 dan diesel turun di bawah paras RM2 seliter, selepas harga minyak mentah dunia terus mengalami penurunan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengumumkan perkara itu, dengan melampirkan surat Kementerian Kewangan.

Penurunan itu susulan keputusan kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel, mengikut kaedah pengampunan terkawal, mulai 1 Disember lalu.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu, adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97, sejak Julai 2010.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.