Sekumpulan tokoh-tokoh berpengaruh dalam negara ketika ini sedang berusaha mengadap Sultan Selangor untuk memohon pengampunan bagi Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh Altantuya Sharibuu.
Mereka dikatakan berbuat demikian atas dasar tanggungjawab serta perikemanusiaan kerana berasakan Azilah dan Sirul tidak seharusnya dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan tersebut.
Selain tiada motif yang jelas dikenalpasti mengapa mereka melakukan tindakan itu, pembunuhan itu juga dipercayai dilakukan kerana mengikut arahan semata-mata.
Sehubungan itu, tokoh-tokoh berpengaruh itu ingin memohon jasa baik Sultan Selangor agar mempertimbangkan pengampunan kedua-dua anggota polis itu daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup saja.
Sekiranya pengampunan kepada hukuman penjara seumur hidup itu diperkenankan oleh Sultan Selangor, bermakna Azilah dan Sirul hanya perlu menjadi hukuman penjara sehingga mereka berusia 55 tahun tahun saja.
Jika ditolak lagi dengan faktor berkelakuan baik dalam penjara, hukuman yang dijalani mungkin lebih singkat daripada itu. Selepas itu mereka menjadi manusia biasa yang bebas sebagaimana orang lain juga.
Ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua anggota polis yang bertugas sebagai polis pengiring kepada Najib Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan membunuh Altantuya, hanya Azilah yang hadir manakala Sirul didapati sudah melarikan diri ke Australia sejak dua bulan sebelumnya.
Sirul kini sedang ditahan di pusat tahanan Imigresen Australia tetapi sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan secara terbuka kepada media antarabangsa mengenai pembunuhan itu, terutama siapa yang memberi arahan kepadanya.
Kepada portal Malaysiakini, Sirul sudah pun memberikan temubualnya melalui telefon tetapi belum betul-betul terperinci dan jika tiada aral melintang, pada 11.30 pagi Isnin ini pula, beliau juga akan memberikan temubual melalui telesidang kepada wartawan Malaysia yang diusahakan oleh Pas dan Mahfuz Omar.
Berikutan tindakan Sirul melarikan diri itu, hukuman mati keatas Azilah tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana mereka disabitkan kesalahan itu secara bersama.
Dalam masa yang sama, Australia juga menolak untuk melakukan ekstradisi terhadap Sirul kerana negara itu tidak menguatkuasakan hukuman mati dan akan menolak untuk menghantar pulang mana-mana pesalah yang dijatuhi hukuman tersebut.
Ini menjadikan selagi Sirul berada di Australia, hukuman terhadap Azilah tidak dapat dilaksanakan.
Selagi Sirul kekal dengan hukuman mati pula, Australia tidak akan menghantarnya pulang ke negara ini. Lantaran itu, sebagai jalan tengah dan atas nama perikemanusiaan, tokoh-tokoh berpengaruh ini difahamkan sedang berusaha mengadap Sultan Selangor untuk memohon pertimbangan pengampunan bagi kedua-dua anggota polis itu.
Setelah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan, satu-satunya jalan untuk Azilah dan Sirul mengelak daripada hukuman itu ialah dengan cara memohon pengampunan daripada Sultan Selangor kerana kejadian pembunuhan itu berlaku di negeri tersebut.
Jika pengampunan diberikan, Australia dijangka tidak mempunyai masalah lagi untuk mengektradisi Sirul ke Malaysia bagi menjalani hukuman bersama-sama dengan Azilah yang sudah pun berada dalam penjara ketika ini.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/ at 2/23/2015 06:08:00 PTG.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.