Followers

Friday, February 20, 2015

Tak mahu bertanding taktik halus UMNO pecahkan PR - OLEH RADZUAN HASSAN

Taktik halus UMNO pecahkan PR?

 

DI KUALA LUMPUR Pas menganggap niat UMNO untuk tidak bertanding di DUN Cempaka sebagai satu taktik halus merosakkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Muslimat Pas Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pihaknya sudah fasih dengan taktik UMNO.

"Mengisytiharkan tidak akan menghantar calon di DUN Chempaka tetapi terus mengisytiharkan semacam "perang" di Parlimen Permatang Pauh ternyata satu usaha berhelah UMNO dan BN dalam meneruskan serangan persepsi ke atas rakyat khususnya jentera PR bahawa kononnya PR sedang berpecah dan umno dengan PAS sedang menjalinkan kerjasama.

"Inilah yang cuba dilakukan UMNO dan juak-juaknya sebagai membendung kemaraan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dalam PRU14 yang akan datang, insyaAllah," ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Aiman Athirah yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat itu percaya hanya mereka yang mudah lupa akan terpedaya dan terpukau dengan madah berhelah berkenaan. Menurutnya, di DUN Cempaka, pihaknya bersedia dengan segala persiapan walaupun UMNO tidak bertanding sekali pun.

"Apatah lagi dalam misi mempertahankan kerusi DUN yang merupakan legasi Almarhum Mursyidul Am yang kita kasihi, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang baru beberapa hari meninggalkan kita.

"Demikian juga bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, memandangkan kerusi tersebut adalah amanah kita bersama dalam Pakatan Rakyat maka Pas juga tentunya akan sama-sama mempertahankan kerusi tersebut untuk kekal menjadi milik PR tidak kira siapa pun calon yang akan dihantar.



"Secara peribadi saya mahu bersangka baik tetapi apa yang telah mereka lakukan ke atas almarhum Mursyidul Am kita sehingga ke akhir hayatnya tidak diberi keadilan, tidak pernah ditunaikan haknya bahkan terus dipandang sinis adalah suatu yang amat melukakan.

"Kita jangan lupa semua ingatan dan pesanan al marhum bila ianya berkaitan dengan UMNO. Jujur saya menunggu mana-mana pemimpin UMNO untuk membuka mulut setuju memberikan royalti minyak untuk Kelantan sebelum almarhum menutup mata untuk selama-lamanya namun ia ternyata sia-sia.

Beliau percaya ramai ahli dan masyarakat sedang memerhatikan perkembangan ini dengan penuh tertib dan berhati hati.

"Paling utama kita tahu, usaha ini adalah ibarat seorang pengail di laut dalam yg melontarkan umpan yg kecil ke laut bagi mendapatkan "ikan yang lebih besar"," katanya.

Justeru, menurutnya, apa pun yang UMNO mahu katakan dan tawarkan kita ucap terima kasih tetapi jentera keseluruhannya tetap akan kita siap siagakan.--MalaysiaGazette

Posted by mountdweller at 9:30 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.