Followers

Friday, February 6, 2015

Selangor tentukan pilihan raya PBT Ahad ini, kata Azmin OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata negeri akan membuat keputusan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat Ahad ini.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata negeri akan membuat keputusan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat Ahad ini.

Selangor akan membuat pendirian sama ada mahu meneruskan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau tidak selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) Ahad ini, kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata, pihaknya mahu menunggu majlis itu berbincang terlebih dahulu sebelum mencapai keputusan muktamad.

"Ahad ini ada satu mesyuarat. Perkara ini akan dibincangkan," katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Pembersihan Daerah Petaling di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Ditanya cadangan ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming yang mahu projek perintis pilihan raya PBT diadakan di Petaling Jaya, Azmin berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri pernah berbincang tetapi perlu juga mendapat pandangan daripada PBT mengenai polisi yang akan diguna pakai mengikut kesesuaian.

"Kita belum ada keputusan muktamad. Perkara ini akan dibawa kepada Majlis Pimpinan PR," katanya.

Selasa lalu, Ong, wakil rakyat Serdang, mencadangkan Petaling Jaya dipilih sebagai kawasan pertama proses pemilihan ahli majlis menerusi pilihan raya.

“Ini bukan isu DAP bertegas untuk melaksanakan atau tidak, tetapi ia adalah isu perundangan dan Pulau Pinang sudah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan tetapi ditolak.

“Di Selangor, berkemungkinan percubaan pilihan raya PBT akan diadakan di Petaling Jaya tetapi belum ditentukan. Kami harap ia boleh dicuba,” katanya.

Pilihan Raya PBT merupakan antara manifesto PR Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dua tahun lalu yang dibentangkan menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Isu itu menjadi pertikaian apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan kebimbangan ia akan menimbulkan semula ketegangan kaum seperti tragedi 13 Mei 1969.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, turut menepis desas-desus beliau akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada ketua umum PKR itu.

"Dia tidak akan masuk penjara. Dia akan dibebaskan," katanya yakin


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.