Followers

Saturday, February 28, 2015

Polis salah guna undang-undang bertindak atas peserta protes, kata peguam OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA



Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyertai perhimpunan #KitaLawan minggu lalu di kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, ditahan polis.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyertai perhimpunan #KitaLawan minggu lalu di kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, ditahan polis.

Peguam memberi amaran yang polis mungkin menggunakan Kanun Keseksaan terhadap peserta protes memandangkan satu lagi undang-undang berkaitan demonstrasi jalanan, Akta Perhimpunan Aman, tidak menganggap protes sebagai jenayah.

Ketika Pemuda PKR di bawah slogan #KitaLawan bersiap sedia berarak petang ini di Kuala Lumpur dan merancang mengadakan perhimpunan mega pada 7 Mac bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, peguam berkata polis menunjukkan sikap tidak mengendahkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman susulan penahanan minggu lalu dan siasatan terhadap seorang ahli politik serta 2 aktivis mengikut Kanun Keseksaan.

Polis, iaitu sayap eksekutif kerajaan, perlu belajar menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang menyatakan penganjur dan peserta perhimpunan tidak sepatutnya dihukum, dengan syarat mereka berhimpun secara aman.

Peguam N Surendran berkata polis menggunakan taktik baru mengekang suara yang menentang dengan bergantung kepada Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyertai perhimpunan haram.

“Peruntukan itu hanya boleh digunakan apabila seseorang menggunakan kekerasan jenayah. Sudah pasti bukan begitu keadaannya jika seseorang individu mahu menyertai perhimpunan aman,” katanya sambil menambah tindakan polis itu merupakan satu gangguan semata-mata.

Peruntukan dalam Akta Polis yang menghendaki orang awam mendapatkan permit sebelum berhimpun sudah dimansuhkan, dan Akta Perhimpunan Aman diperkenalkan pada 2012 bagi membenarkan perhimpunan diteruskan tanpa permit, tetapi penganjur perlu memaklumkan pihak polis.

Bagaimanapun, Surendran berkata polis nampaknya menggunakan “taktik tidak jujur” walaupun sudah wujud Akta Perhimpunan Aman.

Surendran berkata demikian susulan penahanan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim dan Koordinator Jingga 13 PKR Fariz Musa pada perhimpunan di luar kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, yang diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar yang kini dipenjarakan.

Peguam Fahri Azzat berkata peruntukan mengikut Kanun Keseksaan adalah undang-undang sah tetapi beliau hairan kenapa ia digunakan terhadap mereka yang mahu berhimpun tanpa niat melakukan keganasan atau merosakkan harta benda awam.

“Mereka hanya disiasat sekarang. Tetapi, saya percaya mereka akan mencabar keperlembagaan undang-undang itu sekiranya mereka didakwa kelak,” katanya.

Fahri berkata beliau bimbang apabila polis di bawah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak mengekang mereka dengan mendakwa mereka yang berhimpun itu bertujuan membuat kacau.

“Adakah beliau mempunyai statistik menyokong dakwaan itu?” soalnya sambil menambah badan penguatkuasaan undang-undang itu semakin menjadi-jadi.

Peguam M Visvanathan berkata tidak logik polis menggunakan peruntukan dalam Kanun Keseksaan kerana beban bukti mengikut undang-undang itu lebih tinggi.

“Memandangkan mereka tidak lagi boleh berharap kepada Akta Perhimpunan Aman, polis dan pendakwa raya kini bergantung pada kanun jenayah itu untuk merangka dakwaan dan mendapatkan sabitan,” katanya.

Beliau berkata tindakan polis hanya menunjukkan ia mahu menakut-nakutkan orang awam daripada menyertai perhimpunan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata undang-undang itu digunakan sebagai alasan untuk menahan dan mengganggu peserta utama protes.

“Jelas yang polis berniat jahat dengan menterjemahkan peruntukan itu sedangkan ia merupakan satu perhimpunan aman,” katanya berhubung penahanan minggu lalu itu.

Paulsen berkata, undang-undang itu digubal untuk digunakan terhadap perusuh atau kumpulan yang mencetuskan rusuhan, contohnya samseng dalam perlawanan bola sepak yang membuat kecoh.

Katanya, dalam penghakiman Mahkamah Rayuan itu, panel 3 hakim menegaskan mengenai hak asasi rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan tidak menjadikan kesalahan itu satu jenayah.

“Dalam kes terbaru, mereka yang berhimpun di pusat beli-belah di Kuala Lumpur tidak melanggar undang-undang itu. Malah, polis sepatutnya membantu ketika bantahan itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demonstrasi itu juga berakhir secara aman dan tidak ada alasan polis melancarkan tindakan keras selepas itu.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan, mengikut Akta Perhimpunan Aman, menyalahi perlembagaan sekiranya perhimpunan awam dianggap jenayah, termasuk yang diadakan secara spontan.

Mahkamah itu juga membebaskan Nik Nazmi daripada tuduhan gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei, tahun lalu.

Secara keseluruhan, Nik Nazmi dibebaskan daripada dakwaan yang sama sebanyak 4 kali selepas timbalan pendakwa raya cuba mendakwanya lagi. – 28 Februari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.