Anwar di Penjara: Betul Apa Yang Azmin Ali Kata
Keputusan rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pembakar semangat Pakatan Rakyat (PR) menentang salah laku regim Barisan Nasional (BN), kata Mohamed Azmin Ali (gambar, kanan).
Menteri besar Selangor itu berkata, PR akan mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi menentukan siapakah ketua pembangkang yang baru.
"Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan PR bagi meneruskan perjuangan," katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.
"Kita akan bermesyuarat secepat mungkin. Kita akan tentukannya nanti".
Anwar hari ini gagal dalam rayuan kes Liwat II dan Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman lima tahun penjara sebagaimana yang ditetapkam Mahkamah Rayuan pada Mac 2014.
Mahkamah juga mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan dari yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini, pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Anwar menyerang panel lima hakim yang mensabitkan beliau bersalah hari ini, menuduh mereka "tunduk kepada tuan politik dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman".
Azmin berkata Anwar mengingatkan pimpinan dan anggota pembangkang supaya meneruskan perjuangan membawa perubahan.
Katanya, reformasi total mesti dilakukan dalam negara untuk maju ke tahap lebih cemerlang.
Mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebaik sahaja keputusan mahkamah pagi tadi, Azmin berkata ia menunjukkan perancangan rapi di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan badan kehakiman.
“Saya percaya rakyat akan melihat adakah keadilan sudah diberikan dalam kes Anwar,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Elizabeth Wong berkata keputusan hari ini adalah keputusan politik yang sudah dijangkakan.
Katanya, mesyuarat pimpinan PR minggu lalu juga ada membincangkan bagaimana jika Anwar dipenjara dan perincian lebih lanjut akan dimaklumkan kemudian. .
“Semua orang amat sedih tetapi ini kes politik yang membuatkan kita lagi marah. Saya yakin rakyat bijak melihat ini satu sandiwara. Mereka akan memperkukuh azam untuk menjatuhkan Umno BN,” katanya.
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.