Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika dia dipenjarakan minggu depan, Pakatan Rakyat (PR) akan menang pada pilihan raya umum akan datang dan menawan Putrajaya.
Beliau berkata di sebalik semua serangan terhadap PR, gabungan pakatan masih memperoleh 52% undi popular dalam pilihan raya umum lalu.
“Rakyat sokong kita. Kita dapat 52%. Jika saya diletakkan dalam penjara sekali lagi, kita akan menang 60% (undi),” katanya di majlis minum petang bersama rakyat di Sungai Dua, Bayan Baru, Pulau Pinang, hari ini.
Dia mengulang lagi kenyataannya, berdasarkan kepada undang-undang dan keterangan saksi, dia pasti boleh dibebaskan.
“Jika itu semua tidak diikut, maka ‘lawan tetap lawan’,” katanya. Anwar berkata dia ditanya berulang kali oleh media mengenai hukuman penjara. “Saya tidak bersalah. Kenapa saya kena penjara? “Adakah ekonomi akan jadi lebih baik jika di dipenjarakan?
Adakah ia akan mengurangkan rasuah? Adakah ia akan menjaga kebajikan rakyat? “Kita ada isu dengan kaum, agama dan ekonomi. Jangan belanja jutaan ringgit untuk cuba meletakkan saya di penjara,” katanya.
Anwar berkata dia ditawarkan suaka di luar negara tetapi menolaknya kerana dia mahu terus berada di sini dan berjuang. Katanya tidak ada apa yang boleh menghalangnya daripada terus melawan terhadap penindasan demi negara dan rakyatnya.
“Tidak ada nilai wang boleh beli saya. Jangan ugut saya dengan penjara atau sabitan. Saya di sini untuk menyokong keperitan rakyat dan Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi atau menyerah,” katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh. Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya terhadap rayuan Anwar berhubung sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, Selasa depan.
Anwar dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan itu tahun lalu dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadapnya.
Di majlis minum petang itu, Anwar mengambil peluang membias Putrajaya berhubung isu perkauman, agama dan ekonomi.
Dia turut menyentuh isu kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan. Anwar mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengkaji punca tarif elektrik dan harga gula masih naik.
Dia menyelar bagaimana pihak berkuasa bertindak terhadap orang Islam yang menyentuh anjing dalam satu program tahun lalu, seolah-olah ia masalah negara. “Curi balak ok..boleh lari selepas membunuh pun.
Orang Islam senang sangat diperbodohkan. “Sekarang mereka (Umno) mahu sokong hudud? Betul ke?
Tangan kena potong kerana curi balak. “Lihat Kabinet. Separuh daripada mereka tidak akan ada tangan,” katanya, disambut gelak tawa orang ramai. Acara itu adalah sebahagian daripada siri ‘Jelajah Rakyat Hakim Negara’ di Pulau Pinang.
Malam ini, Anwar dijangka berucap di ceramah mega di Ampang Jajar di Permatang Pauh.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.