Followers

Wednesday, February 4, 2015

Krisis MIC berlarutan, Subramaniam tak hadir sambutan Thaipusam OLEH MD IZWAN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kanan) dengan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel di Batu Caves hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kanan) dengan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel di Batu Caves hari ini.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini tidak hadir ke sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri turut hadir, membayangkan krisis kepimpinan parti India tersebut masih berlarutan.

Najib, yang juga Presiden Barisan Nasional (BN) semasa lawatannya pagi ini, ditemani Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang sedang bertelagah dengan Subramaniam berhubung isu pemilihan parti.

Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan ketika ditanya mengenai ketiadaan Subramaniam dalam sambutan hari ini menjelaskan, beliau sedang sibuk menguruskan perkahwinan anaknya.

"Anak dia kahwin semalam, dia (Subramaniam) masih sibuk dengan persediaan.

"Anak beliau kahwin semalam, jadi dia sibuk dalam minggu ini," katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada Najib ada menyuarakan cadangan atau menggesa MIC menyelesaikan konflik dalam parti semasa pertemuan dengan pemimpin hari ini, Saravanan berkata tiada sebarang arahan atau keputusan diberikan kepada mereka.

"Hari ini kita sambut perayaan, tidak ada apa-apa dikatakan oleh perdana menteri," katanya.

Mengenai krisis dalam parti yang timbul sejak ia diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengadakan pemilihan semula, Saravanan melihat sambutan hari ini sebagai tempat terbaik bagi pemimpin parti itu merapatkan silaturahim sesama mereka.

"Hari ini kita lihat perayaan Thaipusam sebagai perayaan bukan sahaja keagamaan, tetapi lebih untuk mengutamakan silaturahim di kalangan pemimpin masyarakat India, khususnya MIC," kata Saravanan.

Saravanan yang bersetuju pemilihan semula parti tersebut perlu diadakan menegaskan, ia perlu dilaksanakan selari dengan perlembagaan parti.

"Saya sendiri bersetuju, pemilihan semula akan menyelesaikan semua masalah dalaman parti. Tetapi bukan begitu senang.

"Semua orang kena faham, MIC ada perlembagaan sendiri. Bukan mana-mana menteri atau mana-mana pemimpin boleh buat keputusan untuk adakan pemilihan semula," katanya.

Krisis dalaman MIC menjadi semakin parah apabila RoS pada 5 Disember tahun lalu mengeluarkan arahan kepada parti itu supaya mengadakan pemilihan baharu dalam tempoh 90 hari bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Perintah pemilihan semula parti itu dikeluarkan berikutan penyelewengan yang didakwa berlaku pada perhimpunan agung parti itu di Melaka pada 30 November, 2013.

Susulan itu, dua pemimpin tertinggi parti itu menunjukkan mereka tidak boleh bertentang mata bagi menyelesaikan masalah sambil Palanivel kelihatan mahu menghapuskan barisan kepimpinan parti yang menyokong Subramaniam.

Walau bagaimanapun, pada 29 Januari, Palanivel mengeluarkan kenyataan mengatakan kedua-dua mereka setuju "berdiam diri" dan mengadakan moratorium bagi mengelak krisis parti bertambah buruh.

Palanivel berkata moratorium itu akan memberi peluang kepada beliau dan Subramaniam "suatu tempoh yang bukan dalam keadaan krisis" bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Moratorium itu juga, katanya, akan membolehkan beliau dan Subramaniam berjumpa perdana menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak bagi mencari penyelesaian terbaik kepada krisis parti. – 3 Februari, 2015.


/www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/krisis-mic.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.