Followers

Thursday, February 19, 2015

Kes Ini UMNO Tak Nak Buat "ROADSHOW" Ke ????



Kesanggupan bersumpah hatta ke Mekah oleh peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah seperti yang dilaporkan media tertentu dan sekiranya benar laporan tersebut adalah amat memalukan.

Kenyataan sedemikian seperti yang dilaporkan media adalah satu penghinaan terhadap mahkamah. Ia membawa maksud keputusan hakim itu amat lemah dan tidak mempunyai kredibiliti moral sehingga perlu disokong dengan perbuatan sumpah hingga ke Mekah.

Kesanggupan seperti ini satu perbuatan yang tidak wajar dari seorang peguam kanan seperti beliau. Seluruh rakyat mengetahui beliau mewakili institusi peguam negara dan ulasan seperti ini melampaui batasan fungsi tersebut.

Keadaan ini jauh berbeza daripada sikap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika mengendalikan kes pembunuhan warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu. 
Mengapa tiada sebarang komen ataupun kenyataan dikeluarkan peguam negara apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman bunuh kepada kedua-dua bekas anggota polis yang terbabit dalam kes pembunuhan mendiang Altantunya? 
Walhal kes ini berprofil tinggi serta melibatkan imej dan maruah negara di peringkat antarabangsa. Inilah sikap yang sewajarnya diambil seorang peguam negara atau sesiapa sahaja yang mewakili beliau.

Selain itu perlakuan ini bertentangan dengan peraturan dengan peraturan 13 Etika Guaman yang jelas melarang seorang peguam mendapatkan laporan atau publisiti daripada apa-apa perkara di mana seorang peguam terdapat secara profesional.

Perlakuan mengulas, satu perbuatan 'over kill' yang biasanya menjurus kepada gerak kerja politik. Kini timbul persoalan sama ada Shafee mahu menjadi ahli politik atau sebahagian daripada pemain dalam strategi politik pihak tertentu?

Langkah memanggil beliau untuk mengulas keputusan mahkamah menunjukkan terdapat masalah keyakinan rakyat terhadap keputusan tersebut. 
Tidak cukupkah dengan laporan media maka satu program ala 'road show' dianjurkan. Benarkah demikian?

Langkah mengaitkan institusi masjid dan Mekah (mungkin Masjidil Haram yang merupakan masjid utama dalam Islam) adalah satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam. Mekah adalah kota suci dalam Islam. Perbuatan ini hanya memperlihatkan kejahilan beliau dalam perihal agama Islam.

Sayidatina Aisyah ketika berhadapan dengan peristiwa 'hadith al-ifk' (fitnah zina terhadap beliau oleh kaum munafiqin) tidak mengambil langkah sedemikian dan juga tiada arahan Nabi Muhammad. 
Jelas perbuatan sumpah bukan daripada ajaran Islam dalam hal sebegini. Beliau harus memahami dengan jelas konsep, kaedah dan peranan sumpah dalam Islam. 
Sayidatina Aisyah individu yang terlibat secara langsung sebagai individu yang difitnah tidak mengambil langkah sedemikian, apatah lagi pihak ketiga yang hanya mendengar dan membaca laporan dan keterangan bukti.

Oleh yang demikian Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan beliau belajar dengan lebih mendalam berkaitan perundangan Islam sebelum cuba mengaitkan satu-satu perlakuan dengan agama yang suci ini. Inilah bentuk kejahilan yang boleh mencemarkan imej Islam. 
Adakah Shafee mengetahui kenyataan sedemikian boleh menyebabkan beliau terjerumus dalam kesalahan qazf? Jika terjadi hal yang sedemikian beliau boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan, kesaksian beliau tidak boleh diterima selama-lamanya dan tergolong dalam kelompok orang yang fasiq.

Abim menyeru seluruh umat agar berhati-hati apabila berdepan dengan kes yang sebegini dan mengambil sikap seperti yang dianjurkan Islam dalam menjaga maruah dan kehormatan sesama umat Islam.

(Kredit: Amidi Abd Manan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.