Followers

Sunday, February 8, 2015

JANGAN SESEKALI LEBEL ORANG KAFIR,MUNAFIK, MALAH BERBAGAI LAGI JIKA SENDIRI TIDAK BETUL......


Esok bagi sesetengah mereka yang menaruh harapan tinggi kepada kelangsungan kerjasama tiga buah parti pembangkang menerusi Pakatan Rakyat mengharap mesyuarat Majlis Pakatan yang dijangka dijudualkan diadakan esok berjalan lancar dan mencapai tujuan diharapkan.

Paling diharapkan mesyuarat itu sempurna dengan dihadiri presiden ketiga-tiga parti pakatan berkenaan; PKR, DAP dan Pas. Katanya sudah hampir setahun mesyuarat majlis pakatan tidak dapat diadakan secara "ideal" apabila presiden Pas Abdul Hadi Awang sering kali absen dengan berbagai sebab dan alasan.


Untuk esok katanya presiden parti agama itu akan hadir. Jaminan untuk beliau hadir diberikan oleh sekurang-kurang dua pemimpin tertinggi parti Pas, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Mustapa Ali.

Kata Mustapa Ali, Abdul Hadi akan hadir manakala Mohamad Sabu pula berseloka memberi jaminan kehadiran Abdul Hadi itu sebab Abdul Hadi orang Islam. Ertinya jaminan Mohamad yang Hadi akan hadir kerana beliau amanah dan akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sesuai dengan kepercayaan ajaran agamanya.

Manakala Lim Guan Eng pula awal-awal membayangkan yang mesyuarat esok mungkin tanpa kehadiran Abdul Hadi. Beliau sudah memberi kata dua sekiranya Hadi tidak hadir dia juga tidak akan tidak hadir. Iya, untuk apa beliau hadir atau mesyuarat itu diadakan kalau keputusannya tidak dicapai dengan bulat? Ia membuang masa sahaja disamping memberi model kepada media PB.

Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang bersangka baik dengan Abdul Hadi akan hadir kerana baginya mesyuarat esok penting bagi merangka masa depan Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjara. Anwar nampaknya masih belum serit dengan "politik renyok" Abdul Hadi dan terus mengharap sufaat Abdul Hadi bagi menghidupkan Pakatan Rakyat. Naif sangatkah Anwar kini?

Sebelum ini sudah berlaku kesongsangan dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat. Keputusan yang dicapai mesyuarat itu tidak diakur atau pun dilanggar oleh Abdul Hadi sesuka hatinya. Misalnya dia menyerahkan kepada Mohamad Sabu sebagai mewakilinya dan apabila keputusan dibuat beliau menyanggah begitu sahaja. Beliau boleh menolak keputusan yang tidak dihadirnya seratus peratus.

Kes paling klasik ialah berhubung keputusan dicapai dalam majlis Pakatan Rakyat untuk menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail. Mesyuarat sudah sepakat dengan pelan itu. Tetapi malangnya keputusan itu "dirogol" oleh Abdul Hadi dengan tindakannya mahu mengekalkan Khalid sebagai MB. Beliau tidak ada rasa malu untuk membelakang keputusan sebuah majlis.

Tidak cukup itu apa lebih trajis lagi semasa majlis Pakatan Rakyat bermesyuarat membincangkan hal untuk mengganti Khalid dia pula diam-diam berjumpa dengan Khalid Ibrahim dan memberi alasan kenapa dia tidak hadir kerana kononnya tidak ada dalam negeri? Apa lagi tindakan ini kalau tidak boleh dikatakan munafik?

Berdasarkan senario dan kesongsangan itulah mungkin menyebabkan Guan Eng membuat pendirian awal tidak guna hadir mesyuarat majlis Pakatan Rakyat dijadualkan esok sekiranya Abdul Hadi tidak hadir kerana kalaupun mesyuarat itu mencapai konsensus baik sekali pun tetapi ia akan dicabar dan dinafikan oleh Hadi selepas itu.

Katakan esok Abdul Hadi membuang tabiat akan hadir ke mesyuarat berkenaan. Mungkin malam ini ada "wahyu" baru turun dan diterimanya dan dia akan hadir seperti biasa. Tetapi percayalah kehadiran beliau itu tidak merubah keadaan yang ada hari ini; bahawa sikap acuh tidak acuhnya dan pendirian tidak istiqamahnya kepada Pakatan Rakyat akan berterusan. Dia akan terus menjadi bandut dalam politik Pakatan Rakyat bagi menghibur hati pihak musuh pakatan itu.

Apa yang sudah ternyata hari ini daripada sikap, penerimaan dan ulasan-ulasannya, secara peribadi Abdul Hadi sudah tidak dapat duduk bersama, bukan hanya dengan DAP saja tetapi dengan Anwar Ibrahim juga. Tidak perlu diluruhkan bukti-bukti menunjukkan kejengkilan beliau kepada Anwar dan DAP. Hari ini yang menjadi "hidung tidak mancung dan pipi terjolor" kepada Pas dan Hadi ialah dipihak Anwar. Ada kalanya sikap Anwar ini merendahkan martabatnya sebagai politician ampuh.

Seperti yang saya catatkan dalam posting di bawah itu, sesiapa tidak dapat melindungi yang kononnya Pakatan Rakyat tidak ada masalah, dan masalah dihadapinya berpotensi untuk berpecah. Sesaiapa yang cuba menafikan ianya samalah dengan aktiviti Pak Pandir yang menyembunyikan guni garamnya dalam air itu.

Anwar sendiri mengakui perbalahan dalam Pakatan Rakyat bahaya dan ia perlu ditangani sekiranya pakatan itu mahu terus hidup dan memberi cabaran kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

Ditegaskan kehadiran Abdul Hadi esok (kalau hadir) dalam mesayuarat itu ia tidak membawa perubahan dan kemajuan. Kalau pun dia hadir, ia lebih kepada satu kehadiran untuk beliau menyatakan pendirian tegasnya dan ia boleh menyerabutkan perut. Dan kalau dia hadir esok, kehadiran itu mungkin yang terakhir tidak lagi selepas ini.

Sikap Abdul Hadi terhadap konsensus dalam Pakatan Rakyat ini samalah dengan perangai seorang perempuan tua yang diceritakan dalam Quran yang kerjanya simpul tali kemudian rombak kemudian simpul semula kemudian rombak semula.

Dalam penglihatan saya jalan depan Hadi dengan Pakatan Rakyat sudah tertutup rapat dan gelap. Apa yang berkaca dan bersinar dalam matanya kini ialah bergabung dengan Umno. Sunah politik Allahyarham Mohd Asri Muda yang dikecam suatu masa dulu kini cuba dipraktikan dalam Pas. Hakikat ini hendaknya disedari. Adalah sia-sia mengajak Hadi untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat kerana secara hakikinya jiwa dan hatinya sudah kering untuk Pakatan Rakyat.

Hadir atau tidak esok, ia tidak membawa apa-apa makna kecualilah ia hanya akan menjadi isu sebagai menyambung persoalan sebelum ini mengenai sikap politik hadir yang pelik, tidak istiqamah dan adakalanya kebudak-budakan.

Sejujurnya eloklah para penasihat politik Abdul Hadi menyarankan kepada presiden Pas itu membuat kenyataan terbuka dan terus terang yang beliau sudah "tidak amboh" lagi kepada Pakatan Rakyat tanpa berselindung disebalik tindakan-tindakan politik persis "ombak dilaut sekejap naik sekejap turun" ataupun puyuh yang menyembunykin kepala tetapi ekor terjolor.

Hadi sendiri harus membuktikan kepada umum yang ahli Pas majoritinya masih bersama beliau. Carilah apa juga kaedah untuk mendapat kepercayaan dan sokongan itu. Tidak ada guna "mengelip" di sebalik tiang eletrik. Belajarlah menjadi seorang yang gentlemen yang menempati maksud dalam hadith atau firman yang selalu dibaca sejak berdekad lalu.

Jangan hanya tahu mengingatkan orang jangan cuba pecahkan kapal, sedangkan kita sendiri sedang mengemudikan kapal ke destinasi yang bertentangan dengan kehendak anak-anak kapal? Jujur dan beranilah sebelum kapal dipukul ribut dan karam. Dan para penasihat 20% jangan merobekkan maruah Hadi. [wm.kl.7:20 pm 07/02/15] - mso

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.