Followers

Saturday, February 21, 2015

Hadi ingatkan ahli PAS jangan khianat dan rugikan parti

Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti PAS supaya terus berpegang kepada bai'ah dan wala' dan tidak mengkhianati perjuangan mereka.

Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti PAS supaya terus berpegang kepada bai'ah dan wala' dan tidak mengkhianati perjuangan mereka.

Ketika konflik dalaman PAS kelihatan meruncing dengan wujudnya puak di kalangan ahli, dan menjelang Multaqa Ulama Se-Malaysia II yang akan berlangsung esok, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti supaya terus berpegang kepada bai'ah dan wala' dan tidak mengkhianati perjuangan mereka.

Dalam satu rakaman video berjudul 'Hukum bai'ah dalam perjuangan' yang dimuatnaik di laman Facebooknya awal pagi semalam, Hadi menjelaskan tentang perkara itu dan menyarankan agar ahli parti itu tidak melakukan perkara-perkara yang bakal merugikan PAS.

"Apabila kita menyebut tentang bai'ah, ia berkaitan dengan janji kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan Rasul bagi mengukuhkan seseorang ahli jemaah dengan jemaahnya dan kesetiaannya.

Ads by Deal FoxAd Options
"Apa yang terpenting di dalam bai'ah itu ialah memelihara yang tersirat dalam hati kita, keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah dan perjuangan untuk menegakkan Islam," katanya dalam video yang berdurasi 3.04 minit itu.

Mengenai wala', ahli Parlimen Marang itu yang dilihat tegas berpegang kepada prinsipnya dan kadangkala mengambil pendirian yang membelakangi keputusan bersama pemimpin Pakatan Rakyat berkata, ia tentang kesetiaan kepada perjuangan Islam dan jemaah dengan cara yang tidak berbelah bahagi.

"Kesetiaan tidak memesongkan kita daripada menjalankan kerja-kerja jemaah yang menguntungkan jemaah.

"Kesetiaan ialah menghindarkan diri daripada melakukan kerja-kerja yang merugikan jemaah, berkhidmat kepada pihak yang lain lebih daripada jemaah, atau pun khianat kepada jemaah.

"Ini merupakan hal-hal yang sangat penting apabila kita melakukan bai'ah kepada kumpulan Islam," katanya sambil menjelaskan yang dimaksudkan dengan jemaah itu ialah satu kumpulan Islam, dan dalam konteks Malaysia, ia merujuk kepada PAS.

Hadi berkata, salah satu rukun bai'ah ialah menzahirkan ketaatan yang dikategorikannya terbahagi kepada dua jenis iaitu yang mutlak dan yang bersyarat.

Katanya, ketaatan yang mutlak ialah kepada perintah Allah dan Rasul, manakala yang bersyarat ialah terhadap kepimpinan dan jemaah dalam perkara yang tidak maksiat atau bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul.

Esok, Dewan Ulama PAS Pusat akan mengadakan multaqa di Serdang, Selangor, satu medan pertemuan para ulama dalam PAS bagi mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimakan tugasan ahli ilmu dalam PAS.

Menurut kenyataan pengarah multaqa Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, multaqa kali ini membawa tema 'Istiqamah dengan Kepimpinan Ulama' menerusi ucaptama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob dan ulasan oleh timbalan menteri besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ia akan disusuli ucapan perbahasan oleh wakil daripada Dewan Ulama Negeri, Ulama Pelapis dan Alimat dan ditutup penggulungannya oleh Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din.

"Akhiran ini, dasar Kepimpinan Ulama yang menjadi teras kekuatan PAS dan dilembagakan dalam perlembagaan PAS cuba disabotaj, dirungkai dan dipertikaikan.

"Ahli PAS pasca reformasi 98 mempunyai pelbagai rencam aliran pemikiran dan kecenderungan yang membawa kepada bibit perpecahan.

"Serangan terhadap Majlis Syura Ulama dan juga terhadap Presiden PAS sendiri jika tidak dibendung bakal membawa kepada kehancuran PAS," kata Khairuddin.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama Hadi dalam senarai pemimpin yang akan berucap dan membentangkan kertas kerja. – 20 Februari, 2015.

http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.