Tindakan peguam yang mengetuai barisan pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menyerang pemimpin pembangkang itu walau beliau kini di penjara, mengundang kritikan para peguam.
Peguam menyifatkan perbuatan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah@Ramasamy itu tidak boleh diterima dan sangat tidak profesional memandangkan beliau dianggap sedang menganiaya seorang yang tidak dapat mempertahankan dirinya.
Mereka berkata, Shafee tidak perlu terlalu banyak bercakap mengenai kes itu sekarang kerana beliau sudah memenangi kes mahkamah itu dan tidak seharusnya membincangkan kes itu memandangkan beliau juga di pihak yang berkepentingan.
Peguam Syahredzan Johan berkata, sebagai seorang pendakwa raya, Shafee hanya boleh bercakap bagi pihak kerajaan, bukan berhujah atas dasar peribadi.
"Shafee tidak sepatutnya membuat temu bual dengan media dan menggunakannya untuk menyerang seorang yang disabit bersalah," katanya sambil menambah tindakan itu sangat tidak profesional.
Syahredzan meluahkan kekecewaan kerana seorang anggota kanan Majlis Peguam seperti Shafee sanggup membuat kenyataan yang memperkecilkan orang lain, sedangkan katanya, beliau boleh membatasi kenyataannya dengan memuji pihak pendakwaan kerana memenangi kes itu.
"Bukan begitu tahap profesionalisme yang kita jangkakan dari seorang peguam kanan dan terkemuka seperti Shafee," katanya merujuk kenyataan dibuat Shafee melalui media milik Umno, akhbar Berita Harian dan New Straits Times semalam.
Shafee memberitahu Berita Harian, mereka yang mengkritik keputusan kes Liwat II silap kerana tidak berhujah berdasarkan fakta melalui merit kemenangan pihak pendakwaan.
“Mereka tidak berani berdepan dengan situasi sebenar dengan menilai fakta yang ada. Kami melihat terus kepada perkara yang kritikal ketika berhujah. Malah, turut mengambil langkah berani dengan memanggil Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi pendakwaan pada hari pertama perbicaraan,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada akhbar The New Straits Times, Shafee mendakwa Anwar "bersembunyi di sebalik kain" apabila beliau memilih untuk tidak disoal balas.
Shafee juga "puas hati" Anwar didapati bersalah dan kalau boleh, beliau sendiri mahu memberitahu Anwar "hentikan tabiat ini dan bertaubatlah".
Peguam Ramesh Sivakumar berkata mengikut kefahamannya, pendakwa raya tertakluk kepada protokol perkhidmatan dan ia termasuk tidak memberi pendapat undang-undang berdasarkan pandangan peribadi.
"Shafee boleh memberi pendapat profesionalnya sekiranya beliau tidak terlibat dalam kes ini tetapi beliau sama sekali tidak sepatutnya memberi pendapat atas kapasiti sebagai timbalan pendakwa raya," katanya.
Ramesh berkata, selepas mendakwa Anwar di kamar mahkamah, kenyataan Shafee itu sama seperti menganiayai ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Beliau bertanya sama ada pendakwa lain selepas ini boleh melakukan perkara sama setelah menang di mahkamah tertinggi.
Bekas pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata Shafee patut berhenti membuat ulasan mengenai kes itu memandangkan prosiding perbicaraannya kini berakhir.
Ragunath berkata, Shafee tidak sepatutnya membuat spekulasi dan menimbulkan hipotesis dengan berkata "kalau" dan "tetapi" kerana mahkamah sudah memutuskan penghakimannya.
"Tingkah lakunya tidak wajar kerana beliau bertindak keterlaluan dalam kes ini," kata Ragunath.
"Beliau orang terakhir yang sepatutnya membincangkan kes ini sebaik tugas sebagai timbalan pendakwa raya selesai, lainlah kalau beliau bertindak sebagai pemerhati bebas," katanya.
Peguam jenayah, RSN Rayer berkata keputusan Anwar memilih memberi kenyataan tidak bersumpah ialah salah satu daripada tiga pilihan yang diberi kepada seseorang tertuduh apabila diminta membela diri.
"Saya rasa tidak patut Shafee bertindak seperti hakim dan menyerang Anwar hanya kerana Mahkamah Persekutuan tidak menerima hujah pihak pembela," katanya.
Rayer berkata tindakan Shafee sejak 10 Februari lalu apabila keputusan mahkamah diumumkan membuatkan beliau dilihat seperti dahagakan nama dan kemahsyuran.
Katanya terdapat kelemahan ketara dalam kes pihak pendakwa, seperti kredibiliti Saiful sebagai saksi utama dan hakikat yang Anwar sepatutnya dibebaskan apabila selesai kes pendakwaan sebelum ini.
Katanya, atas dasar hormatkan mahkamah, beliau menerima penghakiman itu tetapi alasan mensabitkan Anwar akan terbuka kepada penilaian warga undang-undang dan ahli akademik.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.