"Saya akan mengambil apa sahaja jawatan untuk berkhidmat kepada
masyarakat," katanya pada sidang akhbar di pejabat mewahnya di Bukit
Tunku, Kuala Lumpur.
Shafee , 61, berkata terdapat desas-desus beliau bakal menjadi peguam
negara sejak zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, kira-kira 20 tahun lalu.
Shafee berkata, sebarang jawatan dalam kerajaan bukanlah berkenaan wang.
"Anda membuat wang apabila bekerja dengan swasta," katanya.
Shafee yang dilantik secara mengejut sebagai timbalan pendakwa raya
untuk memimpin pasukan pendakwaan bagi membatalkan pembebasan Datuk Seri
Anwar Ibrahim bagi kes liwat pada 2012, berkata pelantikan ini juga
perlu dilihat dalam situasi yang sama.
Beliau berkata, pelantikan peguam negara adalah hak perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya, sesiapa sahaja yang layak boleh menjadi peguam
negara tetapi kebiasaannya kerajaan melantik mereka yang berkhidmat
dalam bidang kehakiman dan perkhidmatan undang-undang.
"Mungkin kerajaan sudah maklum dan melihat hasil kerja calon berkenaan,"
katanya dan menambah terdapat ramai yang berkelayakan dalam bidang itu
termasuk daripada sektor swasta untuk memegang jawatan yang berkuasa dan
berpengaruh itu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dilantik pada 2002, daripada bidang perkhidmatan kehakiman dan undang-undang.
Shafee berkata, kedudukan peguam negara sama dengan kedudukan hakim
Mahkamah Persekutuan dan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya tempoh
perkhidmatan selama 10 tahun sama ada dalam kerajaan atau swasta, layak
untuk memegang jawatan tersebut.
"Sudah tentu kriteria lain untuk jawatan itu adalah ilmu dan pengetahuan undang-undang yang mantap serta matang," katanya.
Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Shafee yang didenda
sebanyak RM5,000 oleh Lembaga Disiplin Peguam bela dan Peguam cara
kerana melanggar peraturan publisiti di bawah Akta Profesion Guaman.
Pada 27 September 2009, akhbar The Star memaparkan artikel mengenai Shafee, yang dikatakan "melobi" peguam Umno itu.
Majlis Peguam melaporkan perkara itu kepada Lembaga Disiplin Peguam dan Shafee didakwa dan siasatan dilakukan.
Beliau didenda RM5,000 pada 5 Oktober 2012 kerana salah laku. Shafee kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Dalam sesi bertemu media semalam, beliau memberikan maklumat terkini
berhubung permohonan Anwar untuk membatalkan dirinya sebagai ketua
pendakwa.
Rayuan Anwar atas permohonan kedua untuk membatalkan Shafee akan
didengar di Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari manakala Mahkamah
Rayuan akan mendengar kes liwat pada 12 Februari.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar
daripada kes meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26,
di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara jam 3.10
dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Gani melantik Shafee pada 2 Julai sebagai timbalan pendakwa raya
mengikut Seksyen 376 (3) dan 379 Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan.
Anwar memfailkan permohonan pertama untuk membatalkan Shafee atas alasan
beliau bukan seorang yang layak dan sesuai tetapi ia ditolak oleh
Mahkamah Persekutuan pada 21 November.
Peguam yang mewakili pemimpin pembangkang itu berhujah bahawa akan
berlaku percanggahan kepentingan jika Shafee dilantik kerana ia
merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes liwat itu.
Anwar kemudian memfailkan permohonan kedua untuk menyingkirkan Shafee
pada 2 Disember berikutan akuan bersumpah bekas ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Di dalam akuan bersumpah 31 halaman itu, Mat Zain mendedahkan bahawa
beliau bersama Shafee dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial, Datuk Ramli Yusof ke rumah Dr Mahathir pada Aidilfitri tahun
lalu dan didakwa berbincang mengenai salah laku Gani .
Pada 20 Disember, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu atas alasan
akuan bersumpah berkenaan tidak relevan kepada Shafee dan mahkamah juga
mempersoalkan kesahihan dokumen itu. –
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.