Followers

Saturday, February 7, 2015

Betul Kah PR Sudah RETAK MENANTI BELAH ?

 

Mungkin ada yang tidak tahu cerita macam mana kisah Pak Pandir yang menyembunyikan guni garam kerana mengelakkan ianya diketahui oleh pencuri. Untuk menyelamatkan guni garamnya Pak Pandir cuba mencari helah dengan berbagai cara agar garamnya selamat.

Mulanya dia sembunyi disebalik busut kecil dalam semak. Dia ambil daunan menimbuskan guni garam berkenaan. Selesai dia menimbus guni berkenaan dia berundur setapak dua sambil mengintai-intai guni garam berkenaan, uji, apakah ianya diketahui pencuri atau tidak. Guni yang sudah ditimbus dengan daunan itu memang tidak kelihatan, tetapi Pandir tahu yang disitu ada guni garamnya.

Dia rasa tidak sedap hati dan curiga lalu dia mengambil semula dan cuba sembunyi di tempat lain. Kali ini dia menggantungkan guni berkenaan atas pokok. Sesiapa yang lalu di bawah pokok itu tidak akan nampak guni berkenaan, kecuali orang itu melenguk (jengok) ke atas.

Pandir rasa lega kerana kedudukan guninya tinggi dan selamat. Dia berundur dan seperti tadi juga dia mengintai-intai guni berkenaan. Tetapi, ah lagi sekali dia merasakan guni itu tidak selamat kerana kedudukan guni itu diketahui dan tidak terlindung dari pandangannya. Lantas dia membuat ukuran kalau dia tahu kedudukan guni itu maka pencuri juga akan tahu.
Lagi sekali Pandir mencari idea baru macam mana hendak sembunyikan guni garam berkenaan. Kali ini dia mencampak guni itu ke dalam sungai. Guni yang mengandungi garam itu tenggelam ke dasar sungai. Pandir mengintip mahu melihat guni garam berkenaan, guni itu sudah lenyap daripada pandanga matanya.

Pandir rasa kali ini garamnya selamat dan dia berlalu. Sampai masa dia merasakan keadaanya benar-benar selamat dan pencuri sudah tidak ada, Pandir mahu mengambil garamnya. Dia turun ke dalam sungai dan mengambil guni garam berkenaan. Mulanya Pandir gembira kerana guninya masih ada dan tidak hanyut. Tetapi apabila dibuka alangkah sedihnya Pandir kerana garamnya habis hilang (larut) yang tinggal hanya guni sahaja.

Mengenang cerita Pandir yang diceritakan oleh guru saya masa di sekolah rendah ini, teringatlah saya kepada telatah dan nasib Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk melindungi masalah dan perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kini disebabkan tiada keserasian dan titik temu yang jelas antara pendokongnya. Anwar sudah akan habis ikhtiar untuk berbohong kepada dirinya sendiri yang Pakatan Rakyat bermasalah dan berpotensi besar untuk hancur.

Anwar kerap kali cuba menafikan yang Pakatan Rakyat tidak retak dan pemimpinnya konon saling faham memahami. Segal tuduhan dan spekulasi dibuat pihak tertentu (media) dinafikan begitu sahaja oleh Anwar. Saya nampak Anwar seorang yang serius untuk mengekalkan Pakatan Rakyat sementara yang lain seakan main-main.

Hari ini pun dalam keadaan Pakatan Rakyat sudah tidak mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi lebih setengah tahun, Anwar masih membela dan mempertahankan kerjasama dalam Pakatan Rakyat kononnya masih seperti biasa, tiada persengketaan.

Dalam keadaan sesetengah orang Pas termasuk presidennya menunjukkan kejemuan kepada Pakatan Rakyat kerana ingin kembali kepada suami lama, Umno, Anwar masih bernasyid dan bermadah yang Pakatan Rakyat utuh dan padu. Beliau yakin ada perubahan dalam diri Abdul Hadi Awang yang jelas sikap pesimis dan skeptikal kepada Pakatan Rakyat khasnya DAP akan hadir bermesyuarat pada Ahad esok.

Cuma yang sedikit berbeza Anwar dengan Pandir itu, dalam kes Anwar beliau tidak takut kepada pencuri yang seperti Pandir, tetapi sikap Anwar menyembunyikan hakikat yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kini sama dengan diri Pandir yang tolol dan bongok, dia sembunyi guni dia juga yang mengintainya (tahu). Kerja Pandir itu sia-sia sahaja samalah dengan usaha Anwar untuk menutup bau busuk dalam Pakatan Rakyat hari ini yang sudah mustahil dapat diselamatkan lagi. Rakan yang diharap bersamanya kini sudah lama berubah hati.

Masalah dan pertelingkahan yang berlaku dalam Pakatan kini tidak boleh ditusuk selindung lagi. Betapa Anwar hendak menyembunyikan dia tahu akan hakikat dalam Pakatan Rakyat. Teristiwa apa yang berlaku kepada rakannya daripada Pas itu. Apa yang ada dalam hati Hadi Awang kini terhadapnya, dan sikap presiden parti agama itu dengan Pakatan Rakyat, tidak ubahlah orang yang sudah dihidapi kuman barah tahap empat. Kuman itu tidak akan mati walaupun digunakan pelbagai kadah perubatan dan menunggu masa saja untuk meragut nyawa mangsanya.

Jampi serampah, trapi dan berdoa yang dilakukan Anwar untuk memulihkan Hadi yang dihidap kuman barah tidak akan menyelesaikan masalah bahkan kuman barah itu semakin membesar dan kemungkinan terpaksa dilakukan "kimotrapi". Ubatan tradisisional, diplomasi, sabar dan sebagainya sudah tidak menjadi lagi. Abdul Hadi akan tetap dengan sikap dan pendirian, samalah dengan "kegilan" dan kebebalan kuman barah yang ada pada diri penghidap barah.

Analogi ini mungkin tepat; kebersamaan Abdul Hadi bersamanya dengan Anwar dan DAP, samalah keadaan isteri yang terpaksa tinggal bersama suami kerana tidak dicerai secara sah. Si isteri sudah berkali-kali membuat ulah agar dia diceraikan. 
 
Tetapi si suami yang tersangat sayang dan tergilakan si isteri tidak sampai hati untuk berbuat demikian dan rela tidur di jemboran asalkan si isteri masih bersamanya. Apakah Anwar mahu sampai si isteri menuntut fasakh?  Itulah Pakatan Rakyat dengan Abdul Hadi.
 
Senang cerita, saya nak katakan kepada Anwar cukup-cukuplah menjadi Pandir kerana daripada kehidupan Pandir itu juga kelak akan membawa anda menjadi Pak Kadok, Lebai Malang dan juga Mat Jenin. 
 
Kalau sudah tertakdir jodoh PKR dan DAP bersama Pas pendek, terima sahajalah. Hidup dan masa depan Pakatan Rakyat bukan selamanya bergantung kepada sokongan orang-orang macam Hadi Awang.

Daripada hidup membuang masa mengunda gulanakan diri, baik ambil jalan sepi yang jauh sebab cara itu lebih harmoni apa lagi disaat mega sudah bertaburan di langit. [wk.kl.9:18 am 07/02/15]
 
KedahLanie.info

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.