Followers

Friday, February 27, 2015

Alasan tangguh kes Mat Sabu tak munasabah - Hanipa


BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 27 Mac depan untuk menyambung perbicaraan kes ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung isu komunis Bukit Kepong pada Ogos 2011.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes berkenaan kerana saksi terakhir, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.

Katanya mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk memerintahkan mana-mana saksi yang tidak hadir ditangkap. Bagaimanapun, mahkamah akur kuasa yang ada hendaklah digunakan secara berhemah.

"Berdasarkan kepada pertimbangan yang diambil kira dan faktor kes kepentingan awam di mana kes ini mendapat liputan meluas media, saya membenarkan penangguhan yang dimohon.

"Saya sendiri berpendapat keterangan daripada seorang pakar sejarah dapat membantu mahkamah membuat keputusan yang mantap dalam kes ini," katanya pada perbicaraan kes itu di sini hari ini.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 60, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini pada 21 Ogos 2011.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan kes berkenaan berikutan Khoo tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Beliau juga memberitahu pihaknya turut mengemukakan sapina kepada Khoo untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi menerusi e-mel.

Bagaimanapun, peguam bela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin memohon mahkamah menolak permohonan itu atas alasan ia adalah kali kedua saksi gagal hadir di mahkamah.

"Seperti mana diakui pihak pendakwaan, perbicaraan telah ditangguh beberapa kali. Pertama kali pada 16 Jan dan pada hari ini. Saya berpendapat alasan yang diberikan tidak munasabah dan ambil mudah. Persoalan saya adakah alasan penangguhan itu adalah suatu yang mahkamah boleh pertimbangkan," katanya.

Razali kemudiannya bangun menjelaskan bahawa tarikh 16 Jan itu diberikan oleh pembantu peribadi Khoo dan bukan daripada saksi sendiri, manakala pada hari ini Khoo mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. - Bernama

KedahLanie.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.