Followers

Tuesday, January 20, 2015

Zam kecewa, buat keputusan berhenti menulis politik di blognya


Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mengambil keputusan berhenti menulis di blognya setelah mempertimbangkan semua aspek termasuk ketenteraman jiwa akibat ugutan, tekanan dan nama yang tercemar

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mengambil keputusan berhenti menulis di blognya setelah mempertimbangkan semua aspek termasuk ketenteraman jiwa akibat ugutan, tekanan dan nama yang tercemar.

Kecewa dituduh berkonspirasi mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin membuat keputusan berhenti daripada penulisan politik, menjadi penulis blog berprofil tinggi Umno pertama yang melakukan tindakan sedemikian.

Dalam artikel "Salam Terakhir Zam Pada Penulisan Politik Semasa" yang dimuat naik beliau di laman blog zamkata.blogspot.com, Zainuddin, yang lebih dikenali sebagai Zam kecewa kerana seringkali dianggap mempunyai "sandaran" meskipun bergerak secara bersendirian.

"Setelah menimbang dari semua aspek, kepentingan, kedamaian dan ketenteraman jiwa dari ugutan, tekanan dan pencemaran nama pada hari tua, maka saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada penulisan politik semasa yang menjadi pengisian utama blog zamkata sejak dilancarkan pada 8 Ogos 2012," katanya dalam blog tersebut.

"Maka teguran tidak lagi dianggap sebagai sokongan,” tulisnya kecewa.

Beliau berkata, disebabkan perbezaan pendapat, kepercayaan dan setia kawannya kepada kepimpinan politik yang bersandarkan sejarah dan kejayaan tercemar.

"Saya amat tersinggung apabila kekuatan saya sendiri dianggap sebagai bergantung pada orang lain. Ini bukanlah kejatian dan keperibadian diri saya berdekad dalam dunia kewartawanan," katanya.

"Saya merasa cukup terhina kerana bagitu mudah orang membuat kesimpulan. Sekali saya minum pagi bersama Tun Daim Zainuddin atas jemputan dan menemui Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) bersama seorang dua rakan dianggap saya berada dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib."

Zainuddin turut mempersoalkan, jika tindakannya bersarapan dengan Daim dan menemui Dr Mahathir dianggap berkonspirasi menjatuhkan Najib, apakah tindakan media arus perdana memberikan liputan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai kerjasama ketua pembangkang dengan perdana menteri.

“Bolehkah saya juga membuat kesimpulan dengan TV3 media mesra Umno menyiarkan ancaman Anwar untuk membongkar keburukan bekas Daim bererti Najib berkonspirasi dengan Anwar untuk mengekalkan kedudukannya?

Menurut Zainuddin, blog zamkata miliknya dilancarkan pada 8 Ogos 2012 sudah mempunyai lebih 1.5 juta pelawat.

"Sepanjang lebih 50 tahun dalam bidang kewartawanan, saya tidak pernah menjadi penulis upahan," kata Zam.

"Saya tidak mempunyai kawan sejati dalam politik, kerajaan, atau mana-mana pertubuhan, kecuali rakan-rakan wartawan," katanya.

Zainuddin di antara penulis blog Umno yang mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka.

Minggu lepas Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia berkata, Daim dan Dr Mahathir tidak akan merendahkan martabat mereka dengan mendedahkan maklumat "menyelerakan" Najib.

Mengakui terdapat "perang saraf" di antara penyokong Najib yang mengawal media arus perdana terhadap pengkritik termasuk kedua-dua bekas pemimpin negara itu, Zainuddin berkata beliau sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku.

"Dari awal lagi saya sebagai wartawan tua yang mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam perang saraf menjangkakan serangan peribadi TV3 terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, pastinya umum akan merujuknya sebagai arahan serta mendapat keizinan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib," tulis Zainuddin.

"Walaupun saya sering dikatakan sebagai orang (Dr) Mahathir tetapi saya berharap saya tidak dianggap sebagai sekutu Daim kerana menyokong pandangan Kadir dalam posting terbarunya yang melihat kecaman terhadap Daim akan menikam balik Najib dan menghakiskan lagi kewibawaannya," kata Zainuddin merujuk kepada tulisan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin.

Selari dengan pandangan Kadir, Zainuddin berkata tindakan menyerang Daim menggunakan media dikawal Umno bukanlah permainan politik yang bijak.

"Maka saya nampak ini bukanlah suatu permainan politik atau perang saraf yang bijaksana tetapi permainan politik kotor, tidak beretika, tidak profesional dan sangat rendah caranya serta kualiti yang tidak sepatutnya datang daripada Jabatan Perdana Menteri," katanya. – 20 Januari, 2015.

www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.